SUNGAI PETANI 13 Jan. - Kata-kata manis seorang pegawai pemasaran wanita sebuah syarikat kad keahlian cukup membuat seorang kerani syarikat penerbitan teruja lalu melabur RM328 untuk menjadi ahli.
Dengan bayaran tersebut, Ruazaini Ahmad, 48, dijanjikan mendapat insurans perlindungan kemalangan, khairat kematian keluarga, diskaun pakej umrah dan tempahan hotel selain berpeluang mendapat hadiah galakan kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran.
Namun, impian mangsa yang turut dijanjikan pampasan kemalangan berkecai apabila pejabat urusan syarikat tersebut serta kakitangannya di - Mergong dekat Alor Setar, 'ghaib'.
"Semuanya bermula pada 28 Oktober lalu apabila saya dipelawa oleh kakitangan syarikat itu yang membuka kaunter di hadapan pejabat Lembaga Tabung Haji di sini.
"Terpedaya dengan kata-kata manis pegawai pemasaran tersebut, saya akhirnya bersetuju membayar pendahuluan RM150," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ruazaini memberitahu, setelah membayar wang pendahuluan, dia diberi resit serta sebuah buku panduan yang menerangkan mengenai butiran keistimewaan keahlian itu.
"Pegawai pemasaran itu memberitahu, saya layak mendapat semua faedah sebaik sahaja membayar wang pendahuluan. Bakinya pula boleh dibayar pada bila-bila masa," katanya.
Bagaimanapun, Ruazaini menyedari dia menjadi mangsa penipuan syarikat itu selepas permohonannya untuk mendapatkan pampasan kemalangan gagal.
"Saya terlibat dalam kemalangan di Taman Palma, Sungai Petani ketika pulang dari tempat kerja di Seberang Jaya pada 27 Disember lalu. Berikutan kemalangan itu, salah satu daripada jari tangan kiri hampir terputus," katanya.
Katanya, selepas pulih, dia menghubungi pegawai pemasaran syarikat untuk mendapatkan bayaran insurans tetapi gagal.
"Pada 5 Januari lalu, saya pergi ke pejabat syarikat itu dan mendapati ia tidak lagi beroperasi," katanya.
Berikutan kejadian tersebut, Ruazaini membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.
Beliau juga mengesyaki, sindiket itu menyasarkan mangsa di kalangan warga emas kerana modus operandi syarikat tersebut ialah membuka kaunter di hadapan pejabat kerajaan atau institusi kewangan.
"Saya berharap kes ini dapat dijadikan iktibar bagi mengelakkan lebih ramai mangsa tertipu dengan syarikat terbabit," katanya.