Tuesday, January 5, 2010

Rela, JPAM tingkat profesion pengawal keselamatan

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

Keputusan tamatkan khidmat 'jaga' warga asing buka peluang kerja kepada rakyat tempatan



KEBERGANTUNGAN negara kepada pekerja asing dalam sektor tertentu, pada hakikatnya boleh diatasi jika ada perancangan komprehensif dan insentif menarik ditawarkan bagi memancing minat lebih ramai rakyat tempatan untuk menceburi bidang pekerjaan yang didominasi warga asing.


Perkhidmatan pengawal keselamatan, umpamanya dianggap profesion yang masih belum mendapat tempat di kalangan pekerja tempatan kerana menganggap kerja itu bertaraf rendah, tidak memerlukan kemahiran tinggi dan bergaji rendah.


Tidak mustahil, syarikat kawalan keselamatan terpaksa menggunakan khidmat pekerja asing bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor yang memerlukannya. Tindakan itu bukan saja menambah lagi kebanjiran pekerja asing di negara ini malah negara juga terpaksa berdepan masalah sosial yang ditimbulkan mereka seperti terbabit dengan jenayah dan perbuatan tidak bermoral sehingga boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan negara.


Justeru, keputusan kerajaan menggantikan pengawal keselamatan warga asing mulai bulan ini secara berperingkat dengan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dianggap sebagai langkah jangka panjang mengurangkan kebergantungan dan lambakan pekerja asing.


Lebih menarik, kenaikan gaji 10 peratus lebih tinggi iaitu antara RM1,600 hingga RM1,700 berbanding RM1,500 dibayar kepada pekerja asing memberikan gambaran positif untuk menggalakkan industri pekerjaan itu lebih berdaya saing.


dah tiba masanya kerajaan mengeksploitasi sepenuhnya sumber tenaga tempatan selain mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Tawaran sebagai anggota keselamatan kepada anggota Rela dan JPAM dianggap amat tepat kerana mereka dianggap pasukan sukarela yang terlatih dalam pelbagai aspek termasuk mengendalikan senjata api, sekali gus dapat memperkukuhkan lagi misi negara untuk menjaga kestabilan, mengekalkan keselamatan, kesejahteraan dan keamanan.


Ketua Pengarah Rela, Datuk Zai-don Asmuni, berkata pihaknya sudah bersiap sedia membantu syarikat kawalan keselamatan untuk mendapatkan pengawal keselamatan di kalangan ahlinya.

Malah, ketika ini, ramai ahlinya adalah daripada kalangan pengawal keselamatan dan ternyata mampu menggalas tanggungjawab mengikut bidang tugas mereka.

Beliau menganggarkan kira-kira 100,000 daripada sejuta ahlinya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mereka itu boleh mengisi jawatan pengawal keselamatan bagi menggantikan pekerja asing, khususnya dari Nepal.

"Anggota kami terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 hingga 55 tahun. Pada usia ini mereka mampu melaksanakan tugas sebagai pengawal keselamatan di samping mempunyai kemahiran, berwibawa dan tahap disiplin yang tinggi.


"Latihan asas selama tujuh hari di pusat latihan yang dikendalikan Rela seperti cara menggunakan senjata api, kawad dan aspek disiplin lain khususnya kepada pengawal keselamatan menandakan anggota berkenaan sudah bersiap sedia dengan sebarang bidang tugas diberikan," katanya.


Ketika ini, Rela sedang mengemas kini semua data anggotanya terutama mereka yang menganggur atau tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk dicadangkan kepada syarikat pengawal keselamatan yang memerlukan pekerja.


Sejak November lalu, Rela juga sudah mengadakan beberapa mesyuarat dengan Kementerian Dalam Negeri dan syarikat kawalan keselamatan mengenai keperluan dan keupayaan pertubuhan itu menyediakan sumber tenaga kerja dalam bidang berkenaan.


"Saya percaya dengan gaji lumayan yang ditawarkan itu ia boleh membantu anggotanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap menjawat jawatan ini," katanya.


Namun, beliau berharap supaya syarikat kawalan keselamatan juga dapat bersaing secara sihat dengan memberikan insentif lebih menarik demi menjaga imej industri berkenaan ke tahap lebih tinggi.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berpendapat kerajaan perlu melakukan penjenamaan semula kerjaya pengawal keselamatan dengan menggantikan nama jawatan, memberi nilai tambah kepada bidang tugas yang lebih profesional supaya mampu menarik lebih ramai rakyat tempatan memohon jawatan berkenaan.


Katanya, nama pengawal keselamatan itu sendiri sudah dilabelkan sebagai jawatan yang kurang menyenangkan dan masih ramai yang memandang rendah terhadap kerjaya itu.

Kenaikan gaji seperti 10 peratus daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 dilihat bukan sebagai daya penarik untuk memancing minat rakyat tempatan mengisi jawatan berkenaan.


"Oleh itu, nama jawatan terbabit mungkin boleh ditukar dengan nama lain seperti eksekutif pengawal keselamatan bagi menggambarkan imej yang sedap didengar, selain menambah nilai tambah dari segi bidang tugas iaitu mempunyai kemahiran memberi bantuan pertolongan kecemasan atau tahu menghadapi situasi kecemasan lain seperti kebakaran.


"Jika skop kerja mereka hanya setakat memegang senapang dan mengawal keselamatan persekitaran premis tertentu perlu dikikis kerana ini akan menggambarkan bidang tugas yang tidak profesional yang akhirnya gagal menarik minat rakyat tempatan," katanya.


Tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan kira-kira 300,000 pengawal keselamatan warga asing secara berperingkat mulai bulan ini juga dianggap langkah sementara.


Shamsuddin berkata, kebergantungan kepada pekerja asing dalam bidang itu juga sebenarnya tidak boleh dibuat secara mendadak untuk mengelak industri berkenaan terjejas.


Majikan yang menggaji pekerja asing itu turut memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan pekerja baru di kalangan rakyat tempatan.


"Tidak semua kakitangan anggota Rela dan JPAM bersedia bekerja dalam bidang itu kerana kebanyakan mereka ada profesion tetap dan menyertai pertubuhan berkenaan sebagai kerja sukarela," katanya.

Related Posts with Thumbnails