Wednesday, January 6, 2010

Micheelle dirayu pulang

ALOR SETAR 5 Jan. - Seorang gadis yang menghilangkan diri sejak Ahad lalu diminta segera pulang ke pangkuan keluarga yang amat merinduinya.


Micheelle Lim Shiau Wei, 20, keluar dari rumah di Tanjung Bendahara untuk pergi ke tempat kerja dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.


Wakil Khas kepada Ahli Parlimen Alor Setar, Loh Eng Chong berkata, bapa gadis tersebut yang mahu dikenali sebagai Lim, 44, memberitahu, anak gadisnya itu tidak membawa telefon bimbit sewaktu keluar dari rumah.


"Ibu gadis tersebut menghantarnya ke tempat kerja di Tandop pada pukul 9 pagi Ahad lepas.


"Namun pada pukul 12 tengah hari, majikan gadis itu menelefon ibunya memberitahu Micheelle keluar dari kedai pukul 11 pagi dan tidak balik semula untuk menjalankan tugas," katanya di sini hari ini.


Menurut Eng Chong, ibu bapa gadis tersebut telah mencarinya di rumah rakan-rakan yang mengenalinya namun tiada siapa yang mengetahui di mana dia berada.


"Keluarga Micheelle amat risau kerana gadis ini amat lurus dan tidak pernah mempunyai teman lelaki. Ibunya sering menangis sejak kehilangan gadis itu dan berharap agar dia segera pulang," katanya.


Menurutnya, keluarga gadis itu telah membuat laporan polis mengenai kehilangan Micheelle.


"Micheelle tidak pernah lari dari rumah dan tidak mempunyai masalah dengan ahli keluarganya. Dia juga adalah gadis yang baik dan hanya keluar rumah bersama ahli keluarganya," ujarnya.


Sehubungan itu, mereka yang mempunyai maklumat mengenai gadis ini diminta menghubungi Eng Chong di talian 012-4892218.

Related Posts with Thumbnails