Tuesday, January 12, 2010

Suksis bantu banteras jenayah

KUALA TERENGGANU 11 Jan. - Anggota Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mampu memainkan peranan membantu tugas polis dalam memerangi jenayah yang semakin mencabar ketika ini.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya percaya dengan kemampuan Suksis membantu menangani trend jenayah masa kini berdasarkan pengalaman mereka menyertai pasukan seragam di universiti masing-masing.


Beliau memberitahu, pada masa ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan dengan trend jenayah yang membimbangkan terutama jenayah juvana membabitkan remaja, belia termasuk pelajar sekolah dan IPT yang terlibat dalam pelbagai perlakuan jenayah.


Selain itu, menurut Mohd. Shukri, PDRM turut mendepani persepsi masyarakat terhadap kecekapan polis dalam menangani jenayah di samping masalah keselamatan lain yang membabitkan kepentingan masyarakat.


"Pendekatan dan sikap yang dipamerkan ahli masyarakat kini terhasil daripada peningkatan taraf hidup dan pendidikan rakyat," katanya pada majlis Pelantikan Pangkat Pegawai Kehormat dan Pelancaran Kor Suksis Universiti Darul Iman (UDM) di sini kelmarin.

Related Posts with Thumbnails