Tuesday, January 5, 2010

MMS kembali aktif tawar klip lucah

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Kegiatan menawarkan gambar, klip video dan filem lucah melalui khidmat pesanan multimedia (MMS) didapati kembali aktif menganggu pengguna telefon bimbit.


Perkara itu disedari apabila semakin ramai pengguna yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon bimbit agar melanggan MMS terbabit.


Dengan menjanjikan tawaran bahan lucah yang panas, mereka akan menghantar SMS secara rawak kepada pengguna telefon bimbit.


Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, Utusan Malaysia telah menghubungi satu nombor talian tetap yang diberikan.


Panggilan itu telah dijawab oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Ho'.


Ho menjelaskan, selepas menjawab 'Ya' untuk melanggan, mereka perlu menunggu sehingga video itu di muat turun selama kira-kira 24 jam.


Ditanya pula jenis video klip dan filem yang dimuat turun, dia memberitahu, ia akan diberikan secara rambang kepada pengguna.


"Ada (pelanggan) yang akan dapat filem lucah dan ada yang akan dapat video klip lagu. Kita tidak boleh pastikan jenis MMS yang akan diterima pelanggan.


"Setiap video klip dan filem lucah mempunyai tempoh tayangan daripada seminit ke satu jam dan caj bagi setiap MMS ialah 20 sen hingga RM5," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Ditanya lokasi agensi itu beroperasi, Ho enggan mendedahkannya.


"Kalau mahu apa-apa lagi awak boleh telefon, kita tidak boleh beritahu di mana pejabat," ujarnya.


Dalam pada itu, Timbalan Pengarah I, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Noryah Md. Anvar ketika dihubungi mengesahkan menerima banyak aduan mengenai kegiatan itu.


Katanya, sehubungan itu, pihaknya meminta mereka yang mempunyai maklumat supaya melaporkan kepada polis.


"Nombor dan keterangan yang diberikan pengadu akan dapat membantu kami mengesan pihak terbabit," ujarnya.

Related Posts with Thumbnails