Thursday, January 14, 2010

Tingkat hubungan erat banteras jenayah

GERIK 13 Jan. - Hubungan erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat perlu dipertingkatkan supaya kedua-dua pihak boleh bekerjasama lebih erat untuk membanteras jenayah.


Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Robert Phang berkata, langkah berkenaan sangat penting kerana kejadian jenayah pada masa ini lebih serius malah didalangi oleh warga asing yang lebih ganas dan berani.


Justeru, katanya, pihak PDRM harus mencari pelbagai alternatif supaya masyarakat terus memberi kepercayaan dan bekerjasama dengan polis supaya kes jenayah cepat dihidu dan dibendung.


"Kita berharap PDRM dan masyarakat mencari jalan dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama komuniti supaya hubungan lebih erat terjalin antara PDRM dengan masyarakat setempat.


"Hubungan lebih erat ini penting supaya sesuatu jenayah yang berlaku atau akan berlaku dapat dibendung setelah mendapat maklumat daripada anggota masyarakat setempat," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis dialog Ahli Jawatankuasa Induk, Program Pemilihan Balai Polis Cemerlang Bersama Masyarakat Bersia di Balai Polis Bersia di sini, kelmarin.


Sementara itu Phang berkata, program tahunan Anugerah Balai Polis Cemerlang (ABPC) juga merupakan sebahagian usaha pihaknya merapatkan hubungan antara polis dengan masyarakat setempat.


Katanya, program itu terbahagi kepada dua kategori iaitu A bagi balai polis di kawasan bandar dan B bagi balai di luar bandar.


Jelasnya, bagi tahun ini sebanyak 14 balai polis menyertai kategori A dan 13 balai bagi kategori B untuk pertandingan peringkat kebangsaan dan keputusannya dijangka diketahui pada Mac ini.


"Program bertaraf antarabangsa sejak empat tahun ini diperkenalkan oleh Pertubuhan Altus Global Alliance dari Hague, Belanda dan membabitkan 24 negara termasuk Malaysia.


"Ia menggunakan piawaian antarabangsa bagi menilai kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh balai di kawasan setempat yang berasaskan orientasi masyarakat, keadaan fizikal, hak saksama dan ketelusan akauntabiliti," katanya.

Add to Google
Related Posts with Thumbnails