Monday, January 4, 2010

Tempatkan anggota preman di lokasi strategik



Osman Muhammad Sebot menyampaikan sijil anugerah khidmatan cemerlang sempena Perhimpunan Bulanan Ke-12 di Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi, baru-baru ini.


KOTA TINGGI 3 Jan. - Polis daerah ini akan menempatkan lebih ramai anggota berpakaian preman di lokasi strategik dan tumpuan orang ramai bagi mengumpul maklumat serta membanteras jenayah.


Ketua Polis Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, langkah itu merupakan salah satu pendekatan yang diambil sepanjang 2010 bagi mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.


"Kes kecurian motosikal adalah antara kes jenayah yang paling ketara dan operasi polis banyak menumpukan kepada pemeriksaan dan menjejaki kenderaan curi itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ke-12 di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Daerah di sini kelmarin.


Menurut Osman, siasatan mendapati selain komponen motosikal curi itu dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti, motosikal curi juga digunakan dalam kes jenayah jalanan terutama samun ragut, pengangkutan penagih dadah dan tujuan lumba haram.


Sementara itu, katanya, ketua keluarga merupakan institusi penting untuk menasihatkan ahlinya untuk menjauhi perbuatan jenayah.


Tegasnya, ahli keluarga sewajarnya peka terhadap barangan atau kenderaan yang dibawa pulang atau digunakan ahli keluarga jika didapati mencurigakan serta tiada diketahui puncanya.


"Maklumat daripada orang ramai didapati banyak membantu menyelesaikan kes jenayah dan saya yakin jika orang awam memainkan tanggungjawab sosialnya, kejadian jenayah dapat dicegah dan memihak kepada membantu siasatan polis menyelesaikan kes," kata Osman.


Terdahulu, pada majlis itu, Osman menyampaikan anugerah khidmat cemerlang dan sijil penghargaan kepada 29 anggota termasuk dua pegawai dan tiga kakitangan awam yang mempamerkan perkhidmatan cemerlang sepanjang tahun lalu.

Related Posts with Thumbnails