Sunday, January 31, 2010

Premium insurans lebih rendah

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 28 Jan. – Pemilik kenderaan yang meningkatkan penggunaan peralatan keselamatan pada kenderaan masing-masing bagi mengelak daripada dicuri akan dikenakan bayaran premium insurans yang lebih rendah pada masa depan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, langkah itu dianggap sebagai ganjaran kepada pemilik kenderaan terbabit yang berusaha mengelakkan kenderaan mereka daripada dicuri.


“Bagi merealisasikan perkara ini, jawatankuasa pemandu di bawah Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Bermotor yang diterajui Bank Negara Malaysia (BNM) akan membincangkan dan menetapkan polisi mengenai ‘Proportional Insurance Premium’.


“Perbincangan yang dijadualkan pada bulan depan turut melibatkan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan BNM bertanggungjawab untuk menyediakan tarif insurans itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.


Ketika ini, tiada keistimewaan diberikan kepada mana-mana pemilik kenderaan yang menambah peralatan keselamatan pada kenderaan masing-masing.


Dalam kenyataan akhbar yang sama, Hishammuddin percaya jumlah tangkapan dalam ‘Ops Lejang’ yang dilancarkan oleh polis bagi membanteras kegiatan curi motosikal mulai 1 Januari lalu akan meningkat sebaik sahaja ia berakhir penghujung bulan ini.


Justeru, beliau berharap kertas-kertas siasatan dapat disiapkan dengan segera supaya mereka yang ditahan dalam operasi itu didakwa di mahkamah.


“Penyelesaian segera siasatan kes itu akan memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat bahawa kerajaan tidak bertolak ansur dengan aktiviti curi motosikal di seluruh negara,” katanya.


Sehingga Ahad lalu, sebanyak 137,622 motosikal telah diperiksa di seluruh negara dan hasilnya, sebanyak 658 tangkapan dilakukan dan 619 motosikal serta komponen dirampas.


Tangkapan tertinggi diadakan di Johor melibatkan 170 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 75 kes dan Terengganu 69 kes.


Daripada keseluruhan yang ditangkap sehingga 24 Januari lalu itu, sebanyak 119 kes telah didakwa di mahkamah.
Related Posts with Thumbnails