Thursday, January 7, 2010

MB mahu kes bunuh diselesai segera

SEREMBAN 6 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta polis menyegerakan siasatan kes pembunuhan kejam membabitkan empat sekeluarga yang berlaku di Kampung Batang Rokan, Gemencheh semalam.


Menurutnya, kejadian itu merupakan tragedi malang kepada keluarga berkenaan dan beliau mahu individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.


"Saya berasa amat dukacita dengan apa yang berlaku. Ia tragedi paling buruk pada awal tahun baru ini," katanya di sini malam tadi.


Mohamad ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini selepas melawat ahli keluarga mangsa.


Mohamad yang meluangkan masa lebih sejam di bilik mayat itu berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan berhubung kejadian bunuh itu.


"Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.


Beliau juga menasihatkan keluarga mangsa supaya bersabar dengan apa yang berlaku dan kerajaan negeri akan memberikan apa juga bantuan.


Sementara itu, suasana muram menyelubungi pekarangan Bilik Mayat HTJ apabila ahli keluarga mangsa bunuh itu dilihat menunggu proses bedah siasat ke atas keempat-empat mayat.

Related Posts with Thumbnails