Thursday, January 21, 2010

Azam ketua polis baru Seberang Perai Tengah


DR. Mohd. Shah Hussin Shah (kiri) menyerahkan tongkat kuasa sebagai simbolik majlis penyerahan tugas kepada Azman Abd. Lah sambil diperhatikan Ayub Yaakob di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.


BUKIT MERTAJAM 20 Jan. - Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang baru, Pemangku Asisten Komisioner Azman Abd. Lah berazam untuk meningkatkan jalinan kerjasama dengan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah di daerah ini.


Beliau yang mengambil alih tugas daripada Asisten Komisioner Dr. Mohd. Shah Hussin Shah yang berpindah ke Bukit Aman berkata, aspek berkenaan perlu dijadikan keutamaan dalam usaha mengekang kegiatan jenayah yang semakin pelbagai.


Katanya, program bersifat komuniti perlu diperbanyakkan agar masyarakat berasa dekat dengan polis serta bersedia menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah di kawasan mereka.


"Kini wujud keperluan supaya hubungan polis dengan orang ramai ditingkatkan kerana masyarakat memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat berguna kepada polis.


"Selain itu, media juga memainkan peranan penting untuk membantu dan tidak hanya tertumpu kepada laporan-laporan yang bersifat negatif," katanya selepas majlis serah tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini baru-baru ini.


Majlis itu disaksikan Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob.


Azman, 56, sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Johor selama enam tahun dan sudah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 35 tahun lalu.


Beliau berkata, tugas barunya amat mencabar memandangkan nisbah polis dengan masyarakat di daerah SPT ialah sekitar 1:2,000 sedangkan nisbah sepatutnya ialah 1:250.


Bagaimanapun, katanya, nisbah itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyerah kalah sebaliknya mengajak anggotanya bekerja lebih keras dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.


"Di sinilah perlunya wujud kerjasama erat antara polis dengan masyarakat dan saya percaya jika hubungan ini ditingkatkan, usaha membanteras jenayah akan menjadi lebih mudah," ujarnya.


Sementara itu, Ayub ketika berucap pada majlis itu berkata, masyarakat semakin meletakkan harapan yang tinggi kepada polis lebih-lebih lagi dalam menangani pelbagai kegiatan jenayah.


"Masyarakat bukan sahaja mahu mengetahui apa tindakan yang polis buat tetapi mereka juga mahu tahu sama ada indeks jenayah turun atau naik. Ini adalah harapan tinggi mereka," katanya.

Related Posts with Thumbnails