PADANG BESAR 10 Jan. - Kes jenayah kekerasan termasuk jenayah rogol dan mendatangkan kecederaan di daerah ini meningkat lebih 15 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2008.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, kebanyakan individu yang terlibat dalam kes rogol ini adalah juvenil iaitu golongan remaja yang berusia di bawah umur 17 tahun.
Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati majoriti lelaki yang melakukan jenayah berkenaan adalah kenalan rapat kepada mangsa rogol itu sendiri.
"Kami tidak boleh memberikan ulasan lanjut mengenai laporan siasatan itu. Namun begitu, polis tidak menolak bahawa mangsa rogol telah mengenali lelaki terlibat terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mengedar risalah membanteras jenayah kepada para peniaga dan pengunjung Pasar Sehari Oran, Mata Ayer di sini hari ini.
Lebih 1,000 risalah diedarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar kepada pengunjung pasar sehari tersebut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pergaulan anak-anak mereka bagi mengatasi masalah tersebut.
Sepanjang tempoh yang sama pula, kata Che Man, indeks jenayah bagi tahun lalu di daerah ini berjaya diturunkan sebanyak dua peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pada masa sama katanya, kadar jenayah harta benda di daerah ini juga berjaya diturunkan lebih 16 peratus melibatkan tempoh yang sama.