Thursday, January 7, 2010

Kepala mangsa ditemui di Shah Alam

SHAH ALAM 6 Jan. - Kepala seorang mangsa pembunuhan kejam di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan semalam, ditemui tertanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini tengah malam ini.


Suspek yang ditahan di ibu negara petang ini dibawa oleh anggota polis ke tanah perkuburan itu bagi menunjukkan lokasi dia menanam kepala tersebut.


Sepasukan anggota Unit Forensik yang tiba di tanah perkuburan itu pukul 11.40 malam ini akhirnya menemui kepala tersebut yang ditanam di tanah tinggi berdekatan sebatang parit di hujung tanah perkuburan itu kira-kira pukul 12.50 tengah malam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritendan M. Chandrasehkaran mengesahkan polis telah menemui satu kepala lelaki di dalam sebuah beg plastik yang ditanam sedalam kira-kira dua kaki.


Suspek, katanya, dibawa ke Tampin untuk mendapat perintah tahanan reman esok, manakala kepala itu dibawa ke sebuah hospital di Negeri Sembilan untuk bedah siasat.


Terdahulu, Polis menemui motosikal yang digunakan suspek dalam kes pembunuhan kejam empat sekeluarga di Hentian Bas Tampin.


Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheng berkata, motosikal jenis Suzuki dengan nombor pendaftaran BAY 2805 itu ditemui di Hentian Bas Tampin di sini pukul 10 pagi ini.


Menurut beliau, berikutan penemuan itu, polis percaya suspek telah melarikan diri dengan menaiki bas atau kenderaan lain untuk bersembunyi.

Related Posts with Thumbnails