Tuesday, January 19, 2010

Wajah Perogol Bersiri

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin



KUALA LUMPUR: Ketika polis berusaha menyelesaikan kes penderaan seksual dan bunuh Nurin Jazlin Jazimin, 8, sekurang-kurangnya sembilan perogol bersiri yang sangat dikehendaki belum dapat ditangkap.

Berdasarkan senarai ‘orang dikehendaki’ di laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat sembilan penjenayah berbahaya itu diburu polis kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rogol dan cabul.

Semua suspek turut disertakan identiti dan gambar masing-masing bagi membolehkan orang ramai membantu menjejaki mereka.

Bagaimanapun, lakaran wajah suspek lelaki yang diburu polis berkaitan kes Nurin Jazlin belum dipaparkan di laman web PDRM setakat ini.

Tindakan polis mendedahkan wajah suspek mampu memberi amaran kepada umum supaya berhati-hati jika terserempak dengan mereka yang terbabit dengan kes rogol dan cabul sejak lebih 10 tahun lalu.

Perogol yang masih diburu berdasarkan maklumat di laman web itu adalah Abdul Halim Mohd Noordin, 48, bernombor kad pengenalan 591215-71-5001 yang dikehendaki berkaitan siasatan kejadian rogol di Manjoi, Perak.

Dia disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi suspek ialah Idris Suradi, 45, (620412-01-6293) dengan digambarkan mempunyai ketinggian 5 kaki 6 inci, fizikal badan kurus, muka bujur, rambut beralun serta kulit berwarna sawo matang.

Alamat terakhirnya ialah No 23, Jalan Sri Sarawak 1, Kawasan 2, Taman Sri Andalas, 41200 Klang, Selangor.

Polis turut memburu Kali Muniandy, 31, (760222-08-5495) berkaitan kejadian rogol di Serdang, Selangor, Mohd Nizam bin Hj Osman di Bagan Serai, Perak, dan Rauf Kassim, 45, (620124-10-5857) yang tinggal di Batu 12 1/2, Jalan Cheras, 43000 Kajang, Selangor.

Ada seorang suspek hanya dikenali dengan nama Hu Ting Chu manakala Sudin bin Hashim, 38, (690419-03-5503) bukan saja disyaki dengan kejadian rogol, malah dipercayai terbabit dengan kes samun bersenjata mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Sudin tinggal di Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh, Kelantan.

Seorang lagi suspek ialah Yahya Omar, 52, (550621-03-5123) yang tinggal No 1084, Kg Tg Duff, Tumpat, Kelantan, Yap Kok Wee (780521-05-5155) di No 174, Kawasan 3, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

Melalui maklumat pada laman web terbabit, sesetengah suspek yang dikehendaki polis itu dipercayai bersenjata dan amat merbahaya.

Oleh itu, orang ramai dinasihati jangan cuba mengambil tindakan bersendirian atau menangkap penjenayah itu.

Jika mempunyai maklumat, sila hubungi Pusat Kawalan Polis di talian 03-22626555 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, berdasarkan statistik Bukit Aman, jenayah rogol membabitkan wanita berumur 18 tahun ke bawah menunjukkan peningkatan sejak tiga tahun lalu dengan Melayu adalah yang paling ramai menjadi mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, sebelum ini mendedahkan pada 2005, jumlah kes rogol yang dicatatkan ialah 1,274 dan meningkat kepada 1,708 pada 2006, sementara dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, 1,327 kes sudah dicatatkan.

Menurutnya, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Selangor mencatatkan kes rogol membabitkan mangsa kanak-kanak paling ramai iaitu 240 kes, diikuti Johor dengan 223 kes.

Sejak tiga tahun lalu, kanak-kanak Melayu paling ramai menjadi mangsa iaitu daripada keseluruhan 1,327 kes yang dicatatkan dalam tujuh bulan pertama tahun ini, 1,056 ialah Melayu, diikuti Cina (95), India (56) dan lain-lain (120).

Bagi kes rogol membabitkan wanita berusia 18 tahun ke atas, sebanyak 657 kes dicatatkan pada 2005, 720 pada 2006 dan 493 pada 2007.

Mengikut pecahan umur, Wan berkata, sebahagian besar mangsa adalah kanak-kanak berumur antara 13-15 tahun, yang mana pada 2005 sebanyak 743 kes dicatatkan, 2006 (1,065) dan tujuh bulan pertama 2007 (818).

Katanya, suspek kes rogol dan cabul turut membabitkan warga asing masing-masing berjumlah 38 dan 94 dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Majoriti suspek datang dari Indonesia iaitu masing-masing sembilan dan 30 kes pada tahun ini.

Ketika diminta pandangannya, penganalisis jenayah, Dr Kamal Affendi Hashim menasihati masyarakat supaya tidak leka dan beranggapan kes Nurin sudah selesai dan tidak akan berulang.

Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah ‘terlupa’ boleh menyebabkan tragedi sama yang menimpa Nurin Jazlin berulang kembali.

“Saya nasihatkan ibu bapa supaya sentiasa beringat dan berhati-hati dengan tindak tanduk anak masing-masing. Penjenayah sentiasa mencari peluang di atas kelalaian ibu bapa,” katanya.

Harian Metro
Related Posts with Thumbnails