Monday, April 30, 2012

Kejadian semasa perhimpunan bersih 3.0 di Kuala Lumpur Hari Sabtu 28 April 2012.

Wednesday, April 18, 2012

BALU ANGGOTA POLIS ZAMAN DARURAT MENUNJUKAN CEK MASING2.

Balu kepada bekas polis zaman darurat dari kiri: Hoo Foon Sin, Samsiah Abdullah, Ramlah Ibrahim, dan Kechik Yusoff menunjukkan cek yang diterima di IPD Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 17 April - Seramai 363 bekas anggota polis pada zaman darurat dan balu mereka yang menetap di daerah ini menerima sumbangan sagu hati khas kerajaan bernilai RM3,000 setiap seorang, semalam.


Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff pada majlis khas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.


Menurut Mohd. Jasmani, kesemua penerima itu merupakan bekas anggota polis pada zaman darurat yang layak menerima sumbangan sagu hati itu hasil keprihatinan kerajaan terhadap sumbangan serta pengorbanan mereka menentang komunis.

Rang Undang-Undang Rela dibentang

KUALA LUMPUR 17 April - Rang Undang-Undang Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.


Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (gambar).


Antara peruntukan dalam rang undang-undang itu adalah majikan diwajibkan memberi pelepasan kepada anggota Rela yang menjalani latihan.


Majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji atau mengenakan penalti disebabkan ketidakhadiran semasa tempoh latihan itu.


Tempoh latihan itu ditetapkan tidak melebihi 10 hari dan mana-mana majikan yang disabitkan kesalahan melanggari peraturan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM6,000.

Undang-undang baru kukuhkan peranan Rela

KUALA LUMPUR 17 April - Rang undang-undang Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok bakal memperkukuhkan peranan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di negara ini.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, melalui rang undang-undang itu anggota Rela akan dilibatkan secara langsung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam mengurangkan kadar jenayah di samping menekankan kebajikan ahlinya.


Beliau berkata, walaupun melalui rang undang-undang itu dua bidang kuasa anggota Rela digugurkan iaitu tidak lagi diberi kuasa membawa senjata api dan menahan, memeriksa serta menangkap mana-mana individu yang tidak diingini seperti pengganas dan pendatang asing tanpa izin (PATI), namun peranan mereka diperluaskan.


“Mereka akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi penguatkuasaan lain dalam operasi aman di sasaran berkepentingan kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Thursday, April 12, 2012

Pengambilan Rela untuk diserap dalam PVR dihentikan serta-merta

KUALA LUMPUR 9 April — Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengumumkan pengambilan pegawai dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) untuk diserapkan sebagai Polis Simpanan Sukarelawan (PVR) dihentikan serta-merta.


Ini kerana jumlah pengambilan anggota PVR sudah mencukupi bagi menjalankan tugas mengawal keselamatan termasuk rondaan cegah jenayah.


“Jumlah keanggotaan unit berkenaan ketika ini sudah mencecah kuota iaitu seramai 5,000 orang, yang dianggap memadai sebagai kumpulan sokongan kepada pegawai dan anggota polis bertugas di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini.


Terdahulu, Ismail menghadiri mesyuarat peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusof.


Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan PVR di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara sebagai langkah membantu polis memerangi jenayah jalanan.


Dalam pada itu, Ismail menafikan dakwaan PDRM menarik balik seragam polis yang dibekalkan kepada pegawai dan anggota Rela yang diserapkan ke PVR susulan beberapa insiden salah guna kuasa membabitkan mereka.

Memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap polis

KETIKA membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa usaha untuk memerangi jenayah di negara ini telah mencatatkan penurunan jenayah jalanan sebanyak 39.7 peratus (%) dan jenayah indeks sebanyak 11.1 % manakala tahap kepuasan masyarakat terhadap pihak polis telah meningkat sebanyak 70.5 %.


MCPF ingin mengiktiraf kejayaan yang telah dicapai oleh pasukan polis untuk mengurangkan jenayah jalanan dan jenayah indeks dalam pelaksanaan pendekatan transformasi untuk menangani jenayah dan keselamatan.


Di sebalik kejayaan ini pihak polis perlu meneruskan agenda memerangi jenayah dan berusaha lebih gigih untuk setanding dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain yang terbaik selari dengan kepolisan bertaraf dunia.


Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi tahap ketakutan orang ramai menjadi mangsa jenayah dan tinjauan baru-baru ini mendapati sebanyak 52.9% respondan masih mempunyai rasa takut terhadap jenayah.


Pihak polis perlu peka kepada persepsi masyarakat dan tidak teragak-agak untuk melakukan yang terbaik serta berusaha untuk memperbaikinya dan memperkukuhkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan.


Pada masa-masa hadapan, kepolisan berorientasikan masyarakat mesti diberi penekanan dan dijadikan agenda utama oleh PDRM.


Usaha yang telah diambil oleh Ketua Polis Negara, Ketua-ketua Polis Negeri dan juga Ketua-ketua Polis Daerah untuk "turun padang" untuk mendekati masyarakat harus dipertingkatkan mulai sekarang.


Tugas-tugas rondaan anggota polis termasuklah sesi "berhenti dan bercakap" yang merupakan pendekatan yang sangat efektif untuk mendampingi masyarakat.


Tidak dinafikan bahawa orang ramai menaruh harapan tinggi terhadap pasukan polis bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan mereka.


Pihak polis perlu menyahut cabaran ini dan bersedia untuk berkhidmat kepada orang ramai secara profesional dan berintegriti tinggi.


Kejadian perlakuan jenayah merupakan satu peringatan bahawa kita perlu menjaga keselamatan masing-masing serta tidak memandang ringan berkaitan keselamatan.


Jenayah masih menjadi kebimbangan utama di kalangan rakyat Malaysia dan pendedahan ini tidaklah menghairankan memandangkan hakikatnya mereka yang terlibat di dalam kaji selidik tersebut pernah menjadi mangsa jenayah ataupun saudara-mara atau kenalan rapat mereka menjadi sasaran penjenayah. Dengan membaca berita jenayah setiap hari di media juga boleh menyebabkan wujudnya persepsi.


Kita tidak harus melihat perkembangan ini sebagai negatif dari sudut pencegahan jenayah. Sebaliknya ia harus dilihat secara positif.


Hakikat bahawa jenayah merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia adalah mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk memerangi jenayah serta mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap jenayah.


Ia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahu melihat lebih banyak usaha untuk menangani jenayah serta tidak memandang remeh isu berkaitan jenayah.


Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengalu-alukan perkembangan ini dan ingin melihat kebimbangan ini dapat diterjemahkan dengan lebih banyak penyertaan orang ramai di dalam program dan aktiviti pencegahan jenayah.


Rakyat Malaysia harus tampil ke hadapan untuk turut serta di dalam program dan aktiviti pencegahan jenayah samada atas inisiatif persatuan penduduk mereka sendiri, pertubuhan perniagaan mahupun mana-mana NGO lain bagi meningkatkan kesedaran tentang apa yang boleh dan patut dilakukan untuk mencegah jenayah.


Matlamat utama adalah untuk menanam atau menyemai budaya pencegahan jenayah di kalangan masyarakat supaya tiada siapa pun akan mengambil mudah tentang keselamatan.

Related Posts with Thumbnails