Tuesday, July 4, 2017

[UPDATE] Geng 08, Geng 21 yang gaduh

SIASATAN polis mendapati pergaduhan di Jalan Kledang Timur 10, Menglembu, 8 malam kelmarin, sehingga tiga lelaki parah ditembak membabitkan Geng 08 dan Geng 21.
Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, polis sudah menahan empat suspek berusia 21 hingga 35 tahun berasal dari Batu Gajah termasuk suspek dipercayai melepaskan tembakan terhadap ketiga-tiga mangsa itu.
"Siasatan mendapati mangsa dari Geng 08 dan suspek dari Geng 21 manakala pihak polis sudah mengesan beberapa lagi suspek lain yang terbabit dalam kes ini.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1967," katanya dalam kenyataannya di Ipoh, hari ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan tiga lelaki berusia antara 21 hingga 29 tahun cedera di beberapa bahagian badan akibat ditembak berpunca daripada pergaduhan ketika menonton perlawanan bola sepak.
Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara dua kumpulan semasa menonton perlawanan bola sepak di Padang Ipoh jam 4 petang hari yang sama.
Ketiga-tiga mangsa dilaporkan dirawat di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Difahamkan, bapa kepada seorang daripada mangsa turut menerima ugutan daripada seorang lelaki pada 6 petang memberitahu akan menembak anak serta rakan anaknya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 8:19 AM

Mayat remaja ditemui terapung


MAYAT remaja yang hilang selepas berenang untuk mengambil bola dalam sungai di Kampung Delong, Dungun, pada Ahad lalu ditemui terapung, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, mayat Che Wan Haziq Haikal Che Wan Othman, 14, dijumpai terapung kira-kira 2.5 kilometer dari lokasinya dilaporkan tenggelam, 7.05 pagi tadi.
"Ketika menyambung semula operasi mencari pagi ini dengan memperluaskan lagi kawasan pencarian, akhirnya mangsa ditemui," katanya.
Menurutnya, mayat remaja itu kemudiannya dibawa ke daratan sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Ahmad Zailani berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam operasi mencari termasuk penduduk kampung yang banyak membantu polis.
Dalam kejadian, 6.45 petang Ahad lalu , Che Wan Haziq yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut dikatakan bermain bola sepak berhampiran sungai berkenaan bersama rakannya.
Mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai itu untuk mengambil bola sebelum tenggelam.
Foto Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 11:28 AM

PANGGIL NAMA BULAN JUN 2017





Related Posts with Thumbnails