Thursday, January 7, 2010

Amaran pembeli getah curi

TEMERLOH 6 Jan. - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga dan pembeli getah berlesen yang didapati terlibat membeli hasil getah yang dicuri dari ladang para pekebun kecil.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, tindakan tegas itu termasuk hukuman buang daerah terpaksa diambil sebagai langkah pencegahan berikutan berlaku peningkatan kes curi getah di daerah ini.


Menurut beliau, tindakan buang daerah itu adalah salah satu usaha mengekang jenayah berkenaan daripada berleluasa berikutan harga getah yang tinggi di pasaran.


"Tindakan tegas ini terpaksa diambil terhadap peniaga dan pembeli getah kerana polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka di mahkamah.


"Walaupun hanya ada empat kes laporan mencuri getah diterima, tetapi kita percaya banyak kes kecurian bahan mentah itu yang tidak dilaporkan kepada polis," kata Ahmad Fadzillah.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis dialog antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Getah Malaysia Wilayah Timur dan para pelesen getah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini.


Turut hadir, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Lembaga Getah Malaysia Wilayah Timur, Hamzah Baharudin dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Zundin Mahmud.


Menurut beliau, daripada hasil pertemuan polis dengan masyarakat, kes kecurian getah adalah antara isu yang sering dibangkitkan oleh penoreh dan pemilik kebun getah yang kecewa kerana hasil mereka kerap dicuri.


Katanya, polis memandang serius kes kecurian itu dan bimbang jika penduduk kampung mengambil tindakan sendiri terhadap pencuri getah yang berjaya ditangkap.


Tambahnya, sebelum terjadi sesuatu yang lebih buruk termasuk kecederaan parah atau kematian, polis berusaha membendung kegiatan ini daripada terus menghantui penduduk kampung.


Sementara itu, Ahmad Fadzillah berkata, Lembaga Getah Malaysia akan memperkenalkan kad cip kepada pekebun kecil sebagai untuk membendung kes-kes menjual getah curi.


Katanya, segala maklumat mengenai pemilik kebun kecil getah itu akan dimasukkan dalam cip tersebut bagi membantu peniaga dan penjual membeli getah daripada pemilik kebun sebenar.


Menurut beliau, kebanyakan kes curi dan menjual semula getah itu melibatkan suspek penagih dadah.

Related Posts with Thumbnails