Tuesday, January 12, 2010

Polis tembak mati 3 penjenayah

IPOH 11 Jan. - Polis menembak mati tiga daripada empat penjenayah warga Indonesia bersenjatakan pistol dan parang dalam satu kejadian berbalas tembakan di Taman Farmasi, Seri Iskandar dekat sini lewat petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 petang itu, tiga penjenayah yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi rakan mereka berjaya melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran.


Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, semasa membuat rondaan, sepasukan polis terserempak dengan sebuah kereta jenis Honda Civic dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di taman itu.


Katanya, ketika cuba menahan kereta itu, pemandunya memecut kereta untuk melarikan diri namun merempuh dua buah kenderaan polis sehingga rosak teruk sebelum kereta itu terbabas.


"Empat lelaki kemudian keluar dan salah seorang daripada mereka melepaskan beberapa das tembakan terhadap polis dan sambil dua lagi bersenjatakan parang cuba menyerang polis.


"Polis terpaksa melepaskan tembakan balas dan mengenai tiga suspek manakala seorang lagi berjaya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran. Dia gagal dikesan sehingga sekarang," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.


Zulkifli berkata, pemeriksaan polis ke atas suspek dan kenderaan dinaiki mereka menjumpai sepucuk pistol, beberapa bilah parang, sebilah keris, enam unit telefon bimbit, wang tunai RM1,400, tiga pasport dipercayai milik suspek dan sebuah komputer riba.


Katanya, keris dan beberapa barangan yang ditemui itu merupakan bahan bukti dalam satu kejadian samun di Kuala Kangsar pada 7 Januari tahun lepas.


"Dalam kejadian tersebut, mangsa cedera teruk dan terpaksa menerima 20 jahitan. Kumpulan ini merupakan penjenayah yang ganas kerana mereka tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa dengan teruk jika melawan.


"Walaupun setakat ini tiada mangsa yang terbunuh, namun jika mereka dibiarkan, tidak mustahil lebih ramai orang awam yang akan menjadi mangsa," katanya.


Menurut Zulkifli, siasatan awal polis mendapati, penjenayah berkenaan terlibat tidak kurang daripada 13 kes samun bersenjata di Perak, Kedah, Selangor dan Johor.


Katanya, kumpulan tersebut menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyamun pada malam hari dengan mengikat mangsa serta mencederakan mangsa jika berlaku penentangan.


"Polis sedang giat menjalankan gerakan memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri, tetapi kita yakin dapat menangkapnya tidak lama lagi," ujarnya.


Beliau memberitahu, kejayaan menumpaskan kumpulan penjenayah itu adalah hasil intipan pasukan polis serta maklumat yang disalurkan oleh orang ramai.


"Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai yang ternampak kenderaan dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah supaya menghubungi polis supaya kita boleh semak nombor pendaftaran kenderaan mereka.


"Jika nombor pendaftaran itu palsu, polis percaya mereka ada rancangan untuk melakukan jenayah," katanya.

Related Posts with Thumbnails