Wednesday, October 20, 2010

CUEPACS MINTA JPA SEMAK GRED ANGGOTA BERPAKAIAN SERAGAM




LANGKAWI, 4 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Rabu meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar menyemak semula gred anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen.

Presidennya Omar Osman berkata ini kerana anggota jabatan terbabit tidak boleh disamakan dengan anggota perkhidmatan awam yang lain kerana mereka terdedah dengan keadaan tidak menentu.

"Cuepacs juga meminta JPA mempercepatkan insentif khas kepada anggota bomba yang memandu jentera bomba kerana jentera itu tidak sama seperti kenderaan awam lain dan memerlukan kemahiran pengendalian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan perwakilan Kesatuan Pekerja Jabatan Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia di sini.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan JPA dan Cuepacs berharap pembayaran dapat dilakukan segera.

"Kita mencadangkan insentif itu dipertimbangkan sebanyak RM250 kepada lebih 1,000 anggota yang akan ditentukan oleh jabatan terbabit," katanya.

Beliau berkata pemberian insentif itu akan memberi galakan kepada mereka agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga jentera dan penyelenggaraannya.

Mengulas perkara lain, Omar berkata Cuepacs berharap kerajaan dapat menimbang permintaan agar penjawat awam diberi bonus dua bulan gaji.

Cuepacs juga berharap kerajaan dapat menimbang semula dalam pembentangan bajet tidak lama lagi mengenai beberapa permintaan mereka seperti elaun perumahan, elaun sara hidup dan umur persaraan wajib.

Selain itu Omar berkata pihaknya juga menerima maklumat daripada penjawat awam yang bertugas di negeri-negeri di bawah kerajaan pakatan pembangkang tidak dapat bekerja dengan baik.

Perkara itu katanya, tidak patut berlaku kerana penjawat awam melaksanakan tugas mereka tanpa mengira parti yang mentadbir kerajaan.

-- BERNAMA
Posted by CUEPACS at 17:28

Monday, October 18, 2010

Latihan Menembak Di PGA Pengkalan Hulu Perak

Sunday, October 10, 2010

PDRM paling aktif bantu SPRM banteras rasuah

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan komitmen memberangsangkan apabila muncul agensi kerajaan tertinggi menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hingga berjaya membanteras jenayah rasuah berjumlah RM1.3 juta wang suapan.

Jumlah itu dicatat PDRM selepas pelancaran kempen SPRM 'Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah', April lalu, dengan mencatatkan 173 kes sehingga September tahun ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya berkata, angka tersebut membuktikan PDRM bersungguh-sungguh bersama SPRM dalam usaha membanteras jenayah rasuah.

"Kita (SPRM) sentiasa berharap agar agensi-agensi kerajaan lain juga dapat bersama-sama dengan kita dari segi menyalurkan maklumat, sekali gus membanteras jenayah rasuah.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 311 kes dilaporkan daripada 13 agensi kerajaan dan orang awam dengan nilai suapan kira-kira RM2 juta," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 26 April lalu, SPRM melancarkan kempen 'Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah' yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hasan.

Tambah Ahmad Khusairi, agensi kedua yang dilihat menunjukkan komitmen dalam penyaluran maklumat jenayah rasuah sepanjang tempoh itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 23 kes dan jumlah suapan sebanyak RM9,970.

Katanya, ia diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu 17 kes yang membabitkan nilai suapan RM230,000, Imigresen (14 kes, RM45,120) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (13 kes, RM20,550).

"Secara keseluruhan nilai rasuah yang ditawarkan bermula daripada RM3 hingga (mencapai nilai) RM1 juta. Bagi SPRM, selagi ada laporan dan bukti, kita akan ambil tindakan," katanya.

Selain itu, Ahmad Khusairi turut menggalakkan agensi-agensi penguat kuasa kerajaan lain agar bersama-sama membantu suruhanjaya tersebut membanteras jenayah rasuah.

Jelas beliau, walaupun setiap ketua jabatan telah menandatangani dan bersetuju bersama-sama dengan SPRM dalam membanteras jenayah rasuah, namun ia masih belum dipraktikkan sepenuhnya.

"Kita telah berbincang dengan agensi-agensi kerajaan menerusi Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) tentang ruang dan peluang rasuah selain kelemahan-kelemahan sistem dan prosedur.

"Daripada situ kita dapat kenal pasti masalah dan merangka beberapa program yang bersesuaian termasuk dalam bentuk latihan, ceramah atau kursus khususnya kepada pegawai kerajaan," katanya.

Beliau memberitahu, antara golongan yang tertinggi ditahan kerana memberi rasuah adalah peniaga atau bekerja sendiri dengan 215 kes diikuti kilang (11 kes), restoran (lapan kes), hotel (dua kes) dan masing-masing nelayan dan salon, satu kes.

Jelasnya, faktor utama gejala rasuah itu wujud adalah disebabkan ruang dan peluang termasuk kelemahan sistem serta prosedur yang boleh membuka ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah.

"Kita sentiasa membuat pemantauan di beberapa lokasi yang dikatakan panas untuk berlakunya jenayah rasuah," katanya.
Related Posts with Thumbnails