Monday, December 19, 2011

SBPA: " TUNGGU SEHINGGA KAMI JUMPA PM"

SHAH ALAM 17 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kakitangan awam tidak menandatangani surat opsyen menerima skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sehingga wakil mereka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, satu pertemuan dengan Najib akan diadakan pada 22 Disember ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dekat sini bagi meluahkan kekecewaan mereka mengenai kelemahan skim baru itu.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu nanti, pihaknya akan memaklumkan mengenai beberapa kelemahan yang terdapat dalam SBPA kerana ia dibimbangi menganiayai kakitangan awam.

"Saya yakin Perdana Menteri sendiri pun tidak tahu wujudnya kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham dengan masalah kami.

"Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim berkenaan sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) di Hotel Carlton Holiday di sini hari ini.

SPBA diumumkan oleh Najib pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300.

Omar berkata, menerusi SBPA mereka yang menerima markah kurang daripada 70 selama tiga tahun berturut-turut selepas dibuat penilaian oleh pegawai mereka akan dinasihatkan untuk bersara awal.

"Ini hanya akan mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar untuk minum teh tarik bersama pegawai mereka di kantin pejabat supaya mereka akan dinilai dengan markah yang baik setiap tahun.

"CUEPACS bukan menolak cadangan untuk mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi tetapi kami yakin ada cara lain untuk menentukannya," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam ketika ditemui pemberita di Seri Kembangan hari ini berkata, CUEPACS perlu menjelaskan secara lebih terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA supaya ia dapat ditangani secepat mungkin.

Beliau berkata, perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan antara cara terbaik dalam membantu kerajaan mengambil langkah yang dapat menggembirakan semua pihak.

"Tujuan kerajaan ialah untuk membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi kalau ini mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan kepada kerajaan supaya perkara itu boleh ditangani dan semua orang puas hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar di Seri Kembangan hari ini.

TAKLIMAT CUEPACS BERHUBUNG SBPA UNTUK ANGGOTANYA DI CIDB

SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) -- CUEPACS akan memberikan taklimat mengenai Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kepada anggotanya di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Cheras Ahad.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata taklimat yang akan diadakan pada 3 petang itu adalah bagi menjelaskan isu skim baru tersebut.

Beliau berkata kongres itu juga dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai SBPA Khamis ini di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Omar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Kementerian Pelajaran Semenanjung Malaysia di sini.

Beliau berkata CUEPACS juga mendapat aduan daripada kakitangan awam di Sabah dan Johor yang mendakwa mereka dipaksa menandatangani surat opsyen SBPA selepas menghadiri taklimat skim itu oleh segelintir pegawai atasan mereka.

Sehubungan itu, kakitangan awam dinasihatkan agar tidak terburu-buru menandatangani surat opsyen tersebut kerana ia tidak disertai maklumat atau skala gaji, dan mereka diberi tempoh hingga 30 Dis ini untuk membuat keputusan.

Omar berkata jika terdapat pegawai atasan yang memaksa penjawat awam menandatangani surat ospyen, mereka boleh melaporkan perkara itu kepada CUEPACS.

Beliau berkata antara faktor CUEPACS tidak bersetuju dengan polisi SBPA yang menyebut kakitangan awam yang memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kurang daripada 70 peratus, boleh dibersarakan awal.

Omar mendakwa peraturan itu boleh disalahgunakan pegawai atasan bagi menindas kakitangan yang tidak disukai dengan memberi markah rendah.

Selain itu, paras 70 peratus dalam LNPT adalah lebih tinggi berbanding markah 50 peratus yang diperlukan di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) bagi kenaikan gaji, katanya.

Omar berkata CUEPACS juga masih tidak begitu jelas mengenai golongan yang menikmati kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki.

Beliau berkata CUEPACS juga kesal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak memanggil wakil kongres itu untuk merangka SBPA, kerana sebelum ini, ia turut terlibat dalam penggubalan sistem yang menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kepada Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).
Related Posts with Thumbnails