Sunday, February 21, 2010

Gaji polis ikut kelayakan akademik

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) ingin memberi maklum balas terhadap komen ‘Dead, Emmett84, Redbeast, Arepeace8733, Botak8383, Anaktani, Ila2010 serta Pak Ngah’ yang disiarkan dalam ruangan E-mel Anda dan iM Lapor akhbar ini, mengenai isu Skim Perkhidmatan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis serta Konstabel mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 25, Tahun 2009.

Untuk pengetahuan semua pengirim, penyelarasan gaji bagi pangkat konstabel, lans koperal dan koperal kekal memandangkan tiada perubahan dari segi kelayakan masuk iaitu dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan yang setaraf dengannya.

Cawangan Perkhidmatan PDRM sudah mengemukakan penambahbaikan skala gaji mengikut pangkat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun, keputusan skala gaji ditetapkan mengikut kelayakan akademik dan prinsip kadar upah untuk kerja oleh pihak JPA.

Skala gaji bagi pangkat sarjan, sarjan mejar dan sub inspektor adalah berasaskan kelayakan masuk akademik iaitu diploma atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf dengannya.

Pelarasan gaji bagi skim baru hanya akan dilaksanakan selepas pegawai dan anggota pangkat rendah PDRM menerima tawaran opsyen Skim Perkhidmatan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 25, Tahun 2009.

SUPERINTENDAN
RASDI RAMLI,
Penguasa Perhubungan Awam, Cawangan Perhubungan Awam Bukit Aman.

GRO China pura-pura 'gila' ketika diserbu

PULAU PINANG 20 Feb. - Pelbagai taktik digunakan oleh warga asing apabila diserbu pihak berkuasa, namun kejadian di Pesiaran Gurney di sini, malam tadi berlainan sama sekali.

SEBAHAGIAN 13 GRO yang dipercayai warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Persiaran Gurney, pulau pinang,semalam.


Apa tidaknya, seorang wanita rakyat China yang disyaki bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke tiba-tiba menjadi 'gila' apabila premis itu diserbu polis.


Malah dalam serbuan pada pukul 12.15 tengah malam itu, wanita yang berusia 20-an itu cuba mencederakan dirinya dengan menghentak kepalanya beberapa kali ke dinding kaca.


Suspek juga melemparkan kata-kata kesat kepada sekumpulan wakil media yang membuat liputan dalam operasi itu.


Difahamkan, suspek pernah ditahan sebelum ini kerana terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.


Suspek adalah antara 13 wanita rakyat asing dari China termasuk seorang rakyat Uzbekistan yang ditahan kerana menyalahgunakan pas pelawat mereka.


Semua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dipercayai bekerja sebagai GRO di premis yang baru mendapat kelulusan lesen perniagaan tiga hari lalu.


Dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah pil ekstasi dan Eramin 5 di beberapa bilik di pusat tersebut dan menahan empat pengunjung setelah positif dadah.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, pihaknya melakukan serbuan di premis itu hasil maklumat daripada orang awam.


"Siasatan sedang giat dijalankan termasuk untuk memastikan sama ada wanita-wanita itu bekerja sebagai GRO di sini dan menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara ini.


"Kita juga akan meminta kerjasama Kedutaan China dan pihak Imigresen dalam siasatan itu nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai operasi tersebut di sini malam tadi.


Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Lesen Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Rafiah Mohd. Radzi berkata, pihaknya difahamkan lesen pusat hiburan tersebut telah diluluskan tetapi belum dikeluarkan kepada operator premis terbabit.


Ekoran kejadian itu, beliau berkata, pihaknya terpaksa menyemak semula permohonan lesen berkenaan berikutan penemuan sejumlah dadah.

Anggota polis, guru antara positif dadah

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Seorang anggota polis dan guru adalah antara 44 orang yang ditahan kerana memiliki dan didapati positif dadah ketika sebuah pusat hiburan yang terletak di kawasan perumahan di Tanjung Malim, Perak diserbu awal hari ini.


Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim itu ditahan kerana positif dadah manakala tiga lagi rakannya yang juga anggota polis turut ditahan kerana berada di pusat itu.


Operasi kira-kira pukul 4.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh DSP Aida Abdul Hamid menyerbu pusat hiburan yang terletak di kawasan rumah kedai dua tingkat, Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim berjaya menahan 44 orang termasuk 14 wanita kerana positif dadah jenis syabu, ecstacy dan ketamin.


Menurut sumber polis, guru berusia 27 tahun dari Sekolah Kebangsaan Trolak itu ditahan kerana memiliki dadah ecstacy.


Turut ditahan dalam serbuan itu ialah dua lagi lelaki termasuk pengurus pusat hiburan tersebut kerana memiliki dan menjual dadah kepada pengunjung pusat terbabit.


Polis juga mengesan taktik pengunjung pusat itu yang membawa sampel air kencing dari luar yang dipercayai bebas dadah bertujuan untuk digunakan semasa serbuan dibuat.


Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Slim River untuk tindakan lanjut dan bagi pengunjung yang disahkan positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala pengunjung yang ditahan kerana memiliki dadah akan disiasat mengikut Seksyen 39B akta yang sama.


Menurut sumber itu, serbuan yang berakhir kira-kira pukul 7 pagi itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada penduduk setempat berhubung kewujudan pusat hiburan yang beroperasi sehingga pukul 7 pagi setiap hari dan menganggu ketenteraman awam di kawasan sekitar serta dibuka berhampiran dengan Masjid Behrang.


Pusat hiburan itu juga sebelum ini dikatakan pernah diserbu dua kali oleh polis dari IPD Tanjung Malim pada 13 dan 16 Februari lepas dan berjaya menahan tiga pengunjung yang disahkan positif dadah. - BERNAMA

Thursday, February 18, 2010

Pendedahan mengejutkan PATI

Lambakan warga asing ada di mana-mana. Ia bukan luar biasa tetapi sudah semakin biasa.Isunya kenapa kehadiran warga asing ini semakin berleluasa. Adakah mereka datang ke negara ini secara sah atau masuk sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).


Mungkinkah tiada sekatan ke atas mereka, atau pun istilah 'sindrom selamat' yang dilabelkan warga asing mengenai Malaysia telah menjadikan golongan itu terus tertawan untuk mendiami negara hebat ini.


Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan, dalam tempoh tiga jam sahaja seramai 114 orang PATI telah ditahan dan mereka juga adalah warga asing yang tidak diundang.


Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen sah memasuki negara ini, selain Seksyen 15(4) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa serta Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana memiliki permit palsu.


Fenomena warga asing sama ada yang mempunyai permit sah atau PATI bukan sahaja dibimbangi di Kuala Lumpur tetapi juga di sekitar bandar ini.


Kawasan tumpuan seperti stesen bas dan pusat membeli belah Terminal 1, KM Plaza, Taman Tuanku Ja'afar (TTJ), Dataran Senawang, pusat industri di Sungai Gadut, Seremban Selatan, Nilai, pekan Tampin dan pusat hiburan di bandar ini.


Antara warga asing yang paling ramai di bandar ini ialah dari Indonesia, India, Nepal, Afrika, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Bangladesh dan China.


Dalam konteks ini, pihak berkuasa seperti imigresen, polis dan Angkatan Relawan Rakyat (Rela) telah melaksanakan pelbagai operasi mengekang kebanjiran PATI dan memeriksa ketulenan pas masuk warga asing ke negara ini.


Ini semua bertujuan memastikan mereka yang berada dalam negara ini benar-benar kumpulan yang layak dan mendapat 'lampu hijau' dari kerajaan Malaysia.


Bagaimanapun, pendedahan yang dibuat oleh PATI ketika ditemui baru-baru ini dalam Ops Kutip di sini cukup menggemparkan apabila membongkar modus operandi memasuki negara ini.


Kata PATI itu, mereka menceroboh masuk ke Malaysia melalui sempadan jalan darat atau sungai selepas menyelinap masuk ke negara jiran seperti Thailand dan wilayah yang mempunyai kepulauan kecil.


PATI itu juga memasuki negara melalui perairan selepas menaiki kapal dan berlabuh di pesisir pantai sebelum berenang masuk ke negara ini ketika malam, subuh dan senja.


Satu lagi fenomena biasa yang dilakukan oleh PATI ialah memasuki Malaysia sebagai pelancong di pintu masuk negara tetapi bertekad tinggal di negara ini secara sembunyi tanpa mempunyai visa dan lebih masa.


Lebih mengejutkan, golongan PATI lebih berani apabila mengadakan hubungan cinta dan berkahwin dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan 'kelebihan' berada di Malaysia.


Apa yang didedahkan itu merupakan satu kebimbangan dan boleh menyebabkan keselamatan negara terancam.


Kes jenayah membabitkan warga asing juga kian meningkat khususnya rompakan, pembunuhan dan rogol, selain pelacur, pegawai perhubungan pelanggan (GRO), pekerja rumah urut dan pondan.


Selain itu, faktor kesihatan yang melibatkan PATI juga meningkat biarpun warga negara asing yang datang ke negara ini secara sah diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan.


Ramai PATI yang menceroboh masuk ke negara ini datang dari kawasan mundur di negara asal mereka mengakibatkan merebaknya penyakit seperti AIDS, tibi dan penyakit kelamin.


Maka, sebagai rakyat Malaysia, kita menghormati kehadiran warga asing yang sah ke negara ini tetapi mereka hendaklah menghormati budaya masyarakat di sini.


Fenomena selesa warga asing dan PATI ini yang tidak menghormati undang-undang negara wajar disingkir kerana rakyat Malaysia hanya menerima mereka yang tahu adab dan kehidupan bersopan sebagaimana rakyat di negara ini cintakan keamanan dan keharmonian.

Kompaun Ops Halang berkurangan

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Sebanyak 184 kenderaan dikenakan tindakan kompaun atas pelbagai kesalahan dalam siri ketiga Operasi Halang (Ops Halang) yang diadakan di beberapa kawasan di ibu negara baru-baru ini.


Ketua Inspektor Unit Trafik dan Tunda Bahagian Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shaiful Anuar Shaharom berkata, kompaun itu dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan.


Katanya, kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan dan 12(3A) Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.


Namun, Shaiful Anuar berkata, operasi siri ketiga itu menunjukkan penurunan sebanyak 40 kompaun berbanding operasi sebelum ini.


"Operasi siri kedua pada Januari lalu sebanyak 224 jumlah kompaun dikeluarkan dan pada operasi kali ini hanya 184 kompaun dikeluarkan," katanya pada sidang akhbar selepas Ops Halang di sini.


Menurutnya, kebanyakan kompaun yang dikeluarkan adalah atas kesalahan menghalang lalu lintas dan meletakkan kenderaan di garisan kuning.


"Operasi ini lebih tertumpu kepada kenderaan awam seperti bas kerana kita mahu menghapuskan sikap pemandu bas yang suka mementingkan diri sendiri tetapi kenderaan persendirian juga dikenakan tindakan.


"Pemandu bas sering berhenti terlalu lama untuk mengambil penumpang sehingga bas tersebut penuh ini menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana kenderaan lain sukar untuk bergerak," jelasnya.


Operasi itu melibatkan 24 anggota daripada pelbagai jabatan dan organisasi yang memakan masa kira-kira dua jam.


Kawasan sasaran ialah Jalan Hang Kasturi, Jalan Tun Tan Siew Sin dan Lebuh Ampang dan ia dilakukan secara mengejut untuk mengelak diketahui oleh pihak tertentu.


Tambahnya, daripada jumlah kesalahan yang dilakukan, 45 daripadanya adalah bas, lapan teksi dan 131 kenderaan persendirian.


"Kenderaan persendirian masih menunjukkan jumlah tertinggi dan jumlah kompaun yang dikenakan adalah RM300 bagi setiap kesalahan," katanya.

Kerajaan tidak cadang bubar, serap Polis Marin

PUTRAJAYA 17 Feb. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, kerajaan tidak bercadang membubarkan pasukan Polis Marin atau menyerapkannya dalam mana-mana agensi.


Sebaliknya, kata beliau, sebarang perubahan mengenai pasukan itu perlu dilihat dalam konteks penstrukturan semula unit-unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara menyeluruh.


"Polis Marin masih mempunyai peranannya, kita bukan hendak serap atau bubar tetapi hendak pastikan tiada pertindihan.


"Apabila sudah tahu semua ada tanggungjawab masing-masing, maka kita bergerak sebagai satu pasukan, bermakna tiada pembaziran dan kita tahu sasarannya," katanya.


Beliau bercakap demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementerian di sini hari ini.


Pada 9 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, langkah menyerapkan anggota serta aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat bertujuan memperkasakan agensi itu.


Kenyataan itu mendapat reaksi seorang pembaca Utusan Malaysia yang mempersoalkan usaha menyerapkan Polis Marin ke dalam APMM.


Dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini, Zulkifli Abdul Rahman dari Shah Alam menulis, jika penyerapan itu berlaku bermakna PDRM akan hilang sebahagian cawangan yang penting dan boleh juga menjejaskan keberkesanan pelaksanaan tugas PDRM keseluruhannya.


Justeru, katanya, bagaimana APMM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang berasaskan penugasan tentera laut yang baru saja ditubuhkan wajar mengambil alih penugasan dan aset pasukan Polis Marin yang telah wujud lebih 60 tahun?


Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pesara polis yang bimbang tindakan ini akan melemahkan pasukan, justeru boleh menjejaskan pengawalan keselamatan dalam negara.


Hishammuddin berkata, ini adalah masa paling sesuai semua pihak tidak bersikap emosi sebaliknya menilai secara realistik terhadap kekuatan dan kelemahan pasukan Polis Marin.


"Kita tidak mahu lihat pembaziran dan pertindihan malah jauh sekali tidak menepati sasaran serta matlamat sesuatu unit diwujudkan," katanya.

Wednesday, February 17, 2010

Muka parah diseret peragut


BEGINILAH keadaan muka Maizura (kanan) yang cedera parah selepas diseret oleh seorang lelaki sejauh 10 meter dalam kejadian ragut di Taman Setiawangsa kelmarin berbanding sebelumnya (kiri).

KUALA LUMPUR - Seorang isteri sanggup menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan sebuah laptop (komputer riba kecil) bernilai RM1,500 pemberian suami biarpun cedera parah di muka hingga terpaksa menjalani pembedahan hidung apabila diseret dua lelaki yang meragutnya kelmarin.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku berhampiran sebuah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) miliknya di Taman Setiawangsa di sini apabila mangsa yang dikenali sebagai Maizura, 36, yang baru keluar dari kereta bersama seorang pembantunya didatangi dua lelaki bersenjatakan sebilah pisau.

Selepas itu, salah seorang lelaki tersebut bertindak mengacu senjata itu pada leher pembantunya berusia 23 tahun manakala seorang lagi meragut beg tangannya yang mengandungi komputer riba jenama Hewlett Packard (HP) yang dibawanya.

Enggan menyerah kalah, Maizura yang begitu sayangkan komputer riba tersebut kerana dihadiahkan suaminya sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11 pada 14 Februari lalu, bertindak melawan suspek hingga berlaku pergelutan.



Semasa kejadian tersebut.

GTP sasar penurunan 20 peratus jenayah jalanan

ARKIB : 13/02/2010

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Sasaran pengurangan kadar jenayah jalanan yang ditetapkan kerajaan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya mencapai prestasi awal menggalakkan apabila merekodkan penurunan 13 peratus kes jenayah itu bulan lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, angka tersebut diperoleh pada Januari lalu berbanding bulan sebelumnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan kadar jenayah jalanan yang dilaporkan dalam suku keempat tahun lalu mencatat penurunan sebanyak 7.6 peratus.

"Bagi indeks jenayah pula, sebanyak 3.7 peratus penurunan dicatatkan dalam suku terakhir (Disember) 2009," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pengurangan jenayah adalah penting dalam rancangan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

"Jenayah dan perasaan takut terhadap jenayah mempengaruhi kualiti hidup rakyat dan melibatkan kesan yang sungguh memudaratkan.

"Oleh itu, kami (KDN) amat kagum dengan keputusan awal ini," katanya.

Tambah Hishammuddin, oleh kerana jenayah jalanan merupakan tumpuan utama, kerajaan menyasarkan keberhasilan yang lebih cepat iaitu pengurangan sebanyak 20 peratus dalam jenayah jalanan yang dilapor menjelang Disember 2010.

Katanya, inisiatif yang dikuatkuasakan antaranya memastikan kehadiran polis di 50 kawasan panas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau memberitahu, kehadiran anggota polis itu turut dibantu oleh 3,000 sukarelawan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Kita turut meletakkan 500 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas ini untuk menghalang aktiviti jenayah, membolehkan tindakan segera daripada pihak polis selain memudahkan pengecaman suspek," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan negara, pegawai-pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan ke atas bersama anggota polis lain terlibat secara langsung dalam rondaan di tempat-tempat awam.

Katanya, pegawai-pegawai kanan polis itu akan bertugas selama tiga hingga lima jam dalam seminggu.

"Kehadiran anggota polis berhenti dan berbual bersama orang awam selama 10 hingga 15 minit setiap jam ketika rondaan biasa akan memberi peluang untuk masyarakat meluahkan kebimbangan mereka selain merapatkan hubungan," katanya.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan akan menggalakkan semangat sukarelawan melalui inisiatif Skim Rondaan Sukarela (SRS) seperti rondaan yang dilakukan sendiri oleh penduduk tempatan di kawasan tempat tinggal mereka.

Beliau berkata, sukarelawan itu boleh mendaftar sebagai ahli Rakan Cop dan menyalurkan maklumat jika berlaku sesuatu jenayah.

14 maut dalam nahas jalan raya semalam

16/02/2010 11:30am

KUALA LUMPUR, 16 Feb. — Hari kesembilan Ops Sikap ke-21 semalam mencatatkan 14 lagi kematian dengan penunggang dan pembonceng motosikal merupakan mangsa korban teramai apabila menyumbang kepada 11 kes di seluruh negara.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata tiga kematian lagi membabitkan pengguna kereta dan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa korban sepanjang Ops Sikap kini meningkat kepada 136 orang.

Lima kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, empat di jalan negeri, tiga di jalan bandaran dan satu di lebuh raya, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 302 kes diikuti jalan persekutuan (294 kes), jalan negeri (170 kes), lebuh raya (71 kes) dan jalan-jalan lain (48 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 885 kes.

Katanya dalam operasi semalam, sebanyak 13,014 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 yang bermula Ahad lepas sempena Tahun Baru Cina akan berakhir pada 21 Feb depan. - Bernama

Dadah: Tiga beradik ditahan

Oleh SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my

ALOR SETAR 16 Feb. - Tiga beradik lelaki ditahan ketika membawa 4.5 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM100,000 yang dipercayai untuk dijual kepada orang tengah di tempat letak kereta Plaza Tol Bandar Bharu dekat sini 10 Februari lalu.

Turut ditahan dalam serbuan pada pukul 11.15 malam itu ialah seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek.

Ketika ditahan wanita tersebut turut membawa anak mereka yang berusia dua tahun setengah.

Ketua Polis negeri, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pasangan suami isteri itu berusia 24 tahun dan dua lagi masing-masing berusia 19 dan 27 tahun.

"Kesemua mereka dipercayai ingin melakukan transaksi dadah yang diperoleh dari Pulau Pinang sebelum diserbu polis.

"Hasil pemeriksaan menemui 10 peket heroin yang diletakkan dalam sebuah beg di kereta pasangan itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Syed Ismail, bekalan heroin tersebut dipercayai untuk pasaran setempat melibatkan kawasan Bandar Bharu dan Kulim.

Katanya, mereka yang ditahan tiada rekod jenayah dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif.

"Wanita tersebut bekerja sebagai juruwang di sebuah premis di Lapangan Terbang Bayan Lepas, manakala tiga lelaki terbabit bekerja sebagai penarik kereta di Pulau Pinang.

"Anak pasangan suami isteri tersebut diserahkan kepada ahli keluarga suspek," ujarnya.

Katanya, keempat-empat suspek ditahan reman sehingga hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

AADK sasar 20% pengurangan jenayah jalanan

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 16 Feb. - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sedang merangka strategi khusus untuk membantu kerajaan menurunkan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun ini.

Pegawainya, Seah Ai Khuan berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya setiap agensi terutamanya di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) memainkan peranan masing-masing secara lebih berkesan.

Menurutnya, selain Pulau Pinang, AADK di tiga negeri lain iaitu Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor turut bergerak aktif bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai.

''AADK di SPT akan bergerak dengan lebih aktif pada tahun ini bagi memastikan sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti samun, samun berkumpulan, ragut dan mat rempit berkurangan sebanyak 20 peratus.

''Tumpuan diberi khususnya dalam pelanggaran syarat perintah pengawasan. Mereka ini akan dicari dan dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi syarat melalui Operasi Mutiara Bersepadu yang dijalankan bersama polis," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Operasi Mutiara Bersepadu yang dijalankan mulai 27 Januari lalu akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka yang ingkar arahan akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Katanya, dari 27 hingga 29 Januari lalu, sebanyak lapan tangkapan berjaya dibuat di sekitar SPT dan tiga sudah dituduh di mahkamah manakala lima yang lain masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Ai Khuan memberitahu, sebanyak 1,324 kes pengawasan berjaya direkodkan di daerah SPT sepanjang Januari lalu dan rata-rata membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

Tambahnya, AADK mengadakan operasi seminggu sekali bertujuan memburu dan menahan penagih di samping operasi bersepadu bersama polis.

''Mereka yang terlibat dengan kes pengawasan ini akan terlibat dalam program yang dianjurkan AADK bagi membolehkan mereka dibimbing agar tidak mengulangi tabiat lama.

''Setakat ini, jumlah kehadiran bagi setiap program amat menggalakkan dan kita cukup serius dalam hal ini kerana kita akan pergi ke rumah jika mereka gagal menghadirkan diri," tegasnya.

Menurutnya, masyarakat perlu tampil memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing agar tindakan lanjut dapat dilakukan.

Tuesday, February 16, 2010

Taktik berkesan arah mat rempit tolak motosikal

PULAU PINANG 14 Feb. - Strategi polis Pulau Pinang "mendidik" mat rempit yang ditahan dalam operasi dengan mengarahkan mereka menolak motosikal sejauh tujuh hingga 10 kilometer mula membuahkan hasil apabila kegiatan lumba haram di sekitar negeri ini mula berkurangan sejak Januari lepas.

Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Negeri Supt Wan Aziz Wan Hussin berkata, taktik menolak motosikal berkenaan telah digunakan dalam operasi "Ambang Tahun Baru" lepas di Lebuh Raya Expressway Jelutong.

"Bagi yang didapati bersalah pada ketika operasi itu, mereka dikehendaki menolak motosikal sendiri daripada lebuh raya berkenaan sehingga Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang iaitu kira-kira lapan kilometer," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, taktik itu telah diguna pakai dalam beberapa operasi lumba haram di sekitar kawasan pulau antaranya di Padang Kota Lama, Tanjung Tokong, Persiaran Gurney dan Bukit Jambul.

"Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menolak dan itulah cara terbaru untuk mendidik mat rempit yang mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya dan penduduk di sekitar dengan bunyi bising enjin motosikal mereka," katanya.

Wan Aziz berkata, taktik itu membuahkan hasil dan penduduk sekitar kawasan yang sering dijadikan "litar" lumba haram mula menarik nafas lega kerana kegiatan merempit semakin berkurangan.

Menurutnya, ada di antara mat rempit yang pernah ditahan polis "menyebarkan" taktik terbaru polis itu kepada rakan-rakan dan ia membuatkan mereka takut untuk berlumba.

"Tidak kiralah operasi di mana sekalipun, mereka tetap kena tolak motosikal sehingga ibu pejabat polis daerah yang berdekatan dan penonton juga tidak terkecuali," katanya.

Beliau menambah, walaupun kegiatan lumba haram sudah berkurangan, namun pihaknya sentiasa memantau kegiatan itu dari semasa ke semasa.

"Kami sentiasa memantau kegiatan lumba haram dan dalam masa yang sama, polis telah meletakkan beberapa anggota untuk "bergaul" dengan kumpulan mat rempit bagi memastikan kita mendapat maklumat mereka," katanya. - BERNAMA

Awas! e-mel minta maklumat peribadi

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Cybersecurity Malaysia mengingatkan pengguna Internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel daripada institusi bank dengan meminta mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.

E-mel itu meminta mengemaskinikan butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai dalam kaji selidik yang menawarkan ganjaran RM200.

Mereka yang menerima emel dengan pesanan seperti itu dinasihatkan supaya memadamkannya kerana dengan menjawab soalan itu mereka mungkin menjadi mangsa penipuan penjenayah siber yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri berkata, menjawab pesanan itu dengan memasukkan butiran peribadi seperti nama akaun perbankan dalam talian dan kata laluan merupakan percubaan untuk mencuri wang dalam akaun pemegang.

Oleh kerana laman web palsu itu menyerupai laman web bank yang sah, maka pelanggan terpedaya dengan memasukkan butiran peribadi sulit dan dengan itu nama dan kata laluan pemegang akaun dapati dicuri tanpa disyaki," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, tahun lepas, Pusat Bantuan Cyber999 telah menerima sebanyak 3,564 aduan mengenai insiden penipuan dalam Internet iaitu meningkat 68 peratus aduan berbanding tahun sebelumnya.

Husin berkata, laman web palsu dibangunkan sama seperti laman web bank terkenal tempatan dan penghantaran emel dengan menggunakan soalan yang meyakinkan untuk pelanggan membuka hubungan kepada laman web palsu itu.

"Bank tidak pernah tanya pelanggannya khususnya pengguna e-perbankan untuk mengemaskinikan akaun, mengubah semula kata laluan atau butiran peribadi menerusi emel," katanya.

Husin berkata pihaknya, sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, kini mengawasi keadaan itu dan bekerja rapat dengan Polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan menyediakan sokong teknikal cara mengatasi ancaman siber ini.

Katanya, kegiatan penipuan siber semakin menonjol setiap tahun dan dianggap salah satu ancaman besar dalam negara dan kerajaan mengambil langkah untuk memerangi jenayah siber dengan menubuhkan CyberSecurity Malaysia dan penggubalan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP).

Katanya, dalam usaha mendidik masyarakat dan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan internet, CyberSecurity telah membangunkan program 'CyberSAFE' yang mana orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan internet dalam portal di alamat www.cybersafe.my.

Pengguna internet yang ingin mendapatkan nasihat dan sokongan teknikal boleh menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di alamat emel cyber999@cybersecurity.my. - Bernama

Jangan terkejut tiba-tiba ditahan polis

IPOH 13 Feb. - Jangan terkejut jika kenderaan anda ditahan pihak polis walaupun anda tidak melakukan kesalahan di jalan raya ketika itu.

Ini kerana pihak polis mempraktikkan pendekatan 'berhenti dan bercakap' bagi memastikan orang ramai beringat ketika di jalan raya.

Menerusi pendekatan itu, anggota polis yang melakukan rondaan akan berhenti untuk berbual dengan para pemandu selama 10 hingga 15 minit.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, polis terpaksa mengambil pendekatan sedemikian berikutan kempen sebelum ini didapati kurang berkesan meningkatkan kesedaran ketika di jalan raya.

''Pendekatan 'berhenti dan bercakap' diperkenalkan sepanjang Ops Sikap ke-21 yang bermula pada 7 hingga 21 Februari ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Ipoh Selatan dekat sini semalam.

Pada majlis itu Ramly mengedarkan beg cenderamata kepada pengguna jalan raya.

Beliau mengingatkan orang ramai yang balik ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina supaya mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa.

Menurutnya, usaha meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya tidak akan berkesan jika orang ramai masih tidak peka terhadap keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

Jelasnya, laporan Ops Sikap ke-20 pada musim perayaan Tahun Baru Cina tahun lalu di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 73 kes daripada 1,550 kes kemalangan yang dicatatkan pada 2008.

Katanya, bilangan kematian akibat kemalangan pula meningkat kepada 36 orang tahun lalu berbanding 31 orang pada tahun sebelumnya.

"Sebanyak 34,207 saman telah dikeluarkan oleh polis kepada pesalah sepanjang Ops Sikap ke-20.

"Ini menunjukkan Ops Sikap yang dilaksanakan tahun lalu tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan," ujarnya.

Wednesday, February 10, 2010

Bayi ditinggal depan rumah polis

ALOR SETAR 9 Feb. - Kes pembuangan bayi di negara ini bagaikan tiada kesudahan. Jika semalam, mayat seorang bayi perempuan ditemui ditanam di tepi parit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini seorang bayi yang masih hidup ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis.

Bayi perempuan yang masih sihat dan baru dilahirkan itu ditemui di hadapan pagar rumah Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Yan, Asisten Supritendan Abdul Rauf Md. Johar di Taman PKNK di sini.

Abdul Rauf terdengar tangisan bayi malang itu kira-kira pukul 6.25 pagi ini sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi memaklumkan mengenai penemuan berkenaan.

Ketika ditemui, bayi itu lengkap berpakaian dan diselimuti dengan kain lampin berwarna putih.

Utusan Malaysia difahamkan, bayi yang cukup sifat itu mempunyai kesan suntikan BCG di lengan kirinya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, bayi itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, bayi itu dilahirkan dalam tempoh antara 48 jam hingga 72 jam lalu sebelum ditemui dan mungkin secara kebetulan diletakkan di hadapan rumah Abdul Rauf.

"Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta," katanya di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan supaya menghubungi Cawangan Siasatan Jenayah IPD Kota Setar bagi membantu siasatan.

Saman maksimum RM300

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Saman maksimum RM300 kini menanti sesiapa yang meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di mana-mana lebuh raya di negara ini.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, ia bukan hanya terhad kepada pemilik kenderaan berat, malah kenderaan ringan bakal menghadapi tindakan yang sama.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak lebuh raya supaya mengalihkan kenderaan yang dilaporkan rosak seberapa segera ke lokasi lebih selamat bagi mengelakkan kemalangan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan semua pengendali lebuh raya dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai mekanisme itu.

"Melalui tindakan tegas ini, saya berharap kemalangan membabitkan kenderaan rosak yang diletakkan di lorong kecemasan dapat dielakkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kemalangan ngeri di Plaza Tol Senawang, Lebuh Raya Utara-Selatan yang meragut nyawa enam sekeluarga, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, kereta jenis BMW 5 Series yang dipandu oleh Suhaimi Ghazali, 41, terbakar selepas merempuh treler yang diletakkan di lorong kecemasan lebuh raya itu, menyebabkan enam sekeluarga itu rentung.

Ditanya mengenai tempoh masa yang ditetapkan untuk mengalihkan kenderaan rosak, Abdul Aziz berkata, ia belum ditetapkan lagi.

"Apa yang saya mahu, mereka (pemilik kenderaan atau pengendali lebuh raya) perlu mengalihkan kenderaan rosak ke satu tempat yang selamat dengan segera. Saya tegaskan sekali lagi dalam tempoh yang segera," tegasnya.

Dalam hal ini, beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam mengambil tindakan undang-undang.

Monday, February 8, 2010

PDRM sasar 60,000 anggota baru

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
zaid.adnan@utusan.com.my

KUCHING 7 Feb. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mensasarkan untuk merekrut 60,000 anggota baru bagi mengisi jawatan konstabel menjelang 2015.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata, langkah itu penting bagi mengatasi masalah kekurangan anggota pada masa depan.

Katanya, ia juga membantu merealisasikan matlamat mengurangkan kadar jenayah yang menjadi salah satu matlamat Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

“Ketika ini sebanyak 38,000 kekosongan jawatan konstabel ditawarkan dan ia akan berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perbarisan tamat latihan asas konstabel skuad 1/2009 di Pusat Latihan Polis Kuching dekat Padawan, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mortadza berkata, kempen menarik penyertaan kaum Cina menyertai polis menunjukkan perkembangan baik.

Katanya, ini kerana semakin ramai kaum itu yang kini memegang jawatan di peringkat atasan.

“Penyertaan mereka (kaum Cina) di peringkat bawah masih sedikit mungkin kerana mereka tidak memohon.

“Namun, bilangan mereka ramai di peringkat atasan,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan polis demi menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Suami isteri dirujuk ke psikiatri

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
jenayah@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki meliwat anak tunggal lelaki mereka yang berusia lima bulan akan dirujuk kepada pakar psikiatri dalam waktu terdekat.

Langkah tersebut bertujuan bagi menentukan tahap kesihatan mental kedua-dua suspek.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan kedua-duanya menjalani ujian itu.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan semua pihak yang diperlukan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan dan butiran mereka terbabit kerana bimbang menganggu siasatan.

"Kita akan jalankan siasatan terperinci meliputi pelbagai sudut bagi melengkapkan siasatan. Ini termasuk dari sudut perubatan seperti pakar psikiatri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian 31 Januari lalu, bayi itu disahkan meninggal dunia sejurus selepas dibawa oleh pasangan terbabit untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh di sini.

Siasatan mendapati, mangsa mempunyai kesan-kesan kecederaan di bahagian duburnya dan ia dipercayai adalah kesan liwat.

Laporan doktor juga mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan cedera pada tubuh bayi malang itu.

Berikutan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 33 dan 19 tahun yang merupakan ibu bapa kepada bayi malang tersebut.

Menurut Arjunaidi, pasangan itu ditahan sehari selepas kejadian, iaitu 1 Februari lalu selepas majlis pengkebumian anaknya di sebuah tanah perkuburan di Sungai Buloh di sini.

Tempoh tahanan reman kedua- duanya sepatutnya tamat semalam tetapi telah dilanjutkan sehingga 12 Februari depan bagi melengkapkan siasatan.

Sunday, February 7, 2010

Datuk Mohd. Hazam terbunuh

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Ketua Penolong Pengarah (Siasatan II) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Hazam Abdul Halim, terbunuh setelah kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 419.8, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke ibu negara, tengah malam tadi.

Allahyarham Mohd. Hazam, 49, ketika itu menaiki kereta rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Proton Perdana bersama pemandunya, Lans Koperal Asminto Salimin, 27.

Perdana yang dipandu oleh Asminto itu dikatakan terlanggar belakang sebuah lori treler membawa muatan tiang lampu yang berhenti di lorong kecemasan, berhampiran susur keluar Bukit Tagar.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, Allahyarham Mohd. Hazam yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian.

Asminto turut mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dekat sini. Keadaan beliau dilaporkan kritikal.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke ibu negara setelah selesai bermesyuarat di Ipoh, Perak.

Ketua Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, berikutan rempuhan itu, Allahyarham tersepit di tempat duduknya dan terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat.

"Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Hussin percaya ketika kejadian, pemandu pegawai polis berpangkat Senior Asisten Komisioner II itu tidak menyedari lori treler berkenaan berhenti di laluan tersebut sebelum merempuh kenderaan terbabit.

Beliau memberitahu, jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat serta dikafankan di tempat yang sama sebelum dituntut oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 5.20 pagi ini.

Jenazah beliau dikebumikan di Makam Haji Said, Taman Tuanku Jaafar di Seremban, Negeri Sembilan sebelum solat Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang besar kepada PDRM.

"Arwah begitu berdedikasi dan bertanggungjawab ketika bertugas. Sumbangan serta komitmen beliau akan dikenang dalam sejarah PDRM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya mengenai perubahan pada diri Allahyarham, Nooryah berkata:

"Sejak kebelakangan ini, Arwah selalu cakap dia sedih. Tapi Arwah tidak pernah cakap sebab atau punca dia sedih".

Bagi mereka yang mengenai Allahyarham, beliau adalah seorang yang cukup berdedikasi serta serius dalam menjalankan tugas.

Bagi kebanyakan wartawan pula, arwah dikenali sebagai seorang pegawai polis yang sangat profesional ketika berhadapan dengan media.

Sebelum menjawat jawatan ini, Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ketua Polis Daerah Segamat, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini mula menyertai bidang kepolisan pada 1985. Lima tahun kemudian beliau mendirikan rumah tangga dan kini memiliki enam cahaya mata.

Allahyarham juga dikatakan sebagai pegawai kanan yang tidak pernah jemu untuk menimba pelbagai ilmu pengetahuan tanpa mengira batas masa dan sempadan.

Ini terbukti apabila beliau memegang beberapa kelayakan tertinggi termasuk Sarjana Pengajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia; Ijazah Sarjana Muda, Sains Sosial dari Universiti Malaya; Diploma Lanjutan Pengurusan Sumber Manusia dari University Of Hull England dan Diploma Pengajian Pertahanan dari Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Kuala Lumpur.

Ops Sikap: 350 anggota polis di 23 lokasi

KUANTAN 5 Feb. - Seramai 350 anggota akan ditempatkan di 23 buah lokasi di sekitar negeri ini yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan sepanjang Ops Sikap Ke-21 sempena Tahun Baru Cina yang bermula Ahad ini.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abd. Rahim berkata, kebanyakan kawasan terlibat merupakan laluan berselekoh dan berbahaya kepada kenderaan.

Katanya, antara lokasi terbabit adalah Kilometer (Km) 36 hingga Km 48 di Jalan Kuantan-Maran dekat Semuji, Km 11 hingga Km 20 Jalan Pintasan Pelabuhan dekat Damansara di sini, dan Km 32 hingga Km 35 Jalan Kuantan-Kemaman dekat Sungai Ular.

"Selain itu, Km 7 Jalan Bentong- Raub di Bentong, Km 325 hingga Km 326 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Raub serta Km 69 Jalan Lipis-Merapoh dekat Kuala Lipis.

"Orang ramai dinasihat berhati-hati ketika melalui laluan-laluan itu bagi mengelak kemalangan dan berehat di tempat sesuai jika letih memandu," ujarnya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hari ini.

Katanya, para pemandu yang akan menggunakan laluan di negeri ini juga dinasihatkan merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan.

"Untuk itu, orang ramai boleh menghubungi Cawangan Trafik negeri di talian 09-5151999 atau ibu pejabat polis daerah untuk mengetahui laluan alternatif sekiranya berlaku kesesakan di jalan tertentu.

"Paling utama ialah mematuhi had laju serta lain-lain peraturan keselamatan jalan raya dan bersabar semasa memandu. Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan saman sekiranya pemandu melanggar peraturan," katanya.

Mengulas statistik kemalangan dalam Ops Sikap Ke-19 sempena perayaan Tahun Baru Cina lalu, Mohamed Fauzi berkata, sebanyak 736 kes kemalangan direkodkan dengan melibatkan 12 kes kemalangan maut dan 13 kematian.

"Kita berharap kadar kematian dalam kes kemalangan jalan raya pada musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini berjaya dikurangkan," ujarnya.

Selepas Polis, Tentera juga bakal menikmati kenaikan gaji. Kajian JPA positif, gaji tentera bakal dinaikkan

SIK 6 Feb. - Anggota tentera dijangka menikmati kenaikan gaji dalam tempoh terdekat memandangkan kajian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai perkara itu menunjukkan tanda-tanda positif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan beberapa siri perbincangan pihaknya dengan JPA, kenaikan itu dianggap sejajar dengan keadaan ekonomi negara yang mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

"JPA sudah kaji dan mendapati kenaikan itu memang sesuai. Namun, kita akan tunggu hingga ekonomi pulih supaya kerajaan dapat bayar imbuhan serta tunggakan kepada anggota tentera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Rimba Taqwa di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kemungkinan terdapat kenaikan gaji anggota tentera selepas 98,747 anggota polis menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun baru berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Polis maut dirempuh

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Malang tidak berbau. Demikian perumpamaan yang sesuai menggambarkan nasib seorang anggota polis peronda yang maut setelah dirempuh sebuah kereta ketika bertugas awal pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, Sarjan Harjit Singh, 50, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras maut dirempuh kereta di Jalan Sungai Besi berdekatan susur masuk ke Jalan Chan Sow Lin.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang membantu mengawal lalu-lintas selepas satu kemalangan berlaku membabitkan enam buah kenderaan.

Ketika menjalankan tugasnya, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Hyundai Getz yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun merempuh anggota polis itu.

Berikutan rempuhan itu, mangsa cedera parah akibat patah tulang rusuk dan kaki.

Dia kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pemandu terbabit dipercayai cuba meninggalkan keretanya dan melarikan diri tetapi berjaya diberkas tidak lama kemudian.

Berita tersebut dimaklumkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah 'Balik Kampung' di sini hari ini.

"Kami amat sedih bersimpati dengan keluarga beliau dan bersedia untuk memberi sebarang bantuan yang diperlukan melalui Bahagian Kebajikan Bukit Aman.

"Begitulah risiko yang dihadapi seseorang anggota polis. Sungguh malang semasa bertugas membantu masyarakat, dia terkorban," katanya.

Mendiang Harjit meninggalkan seorang balu, Manjit Kaur, 47, seorang guru tadika serta tiga orang anak berusia antara 13 hingga 24 tahun.

Beliau menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia pada 2 Januari 1979, pernah bertugas sebagai anggota misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bosnia-Herzegovina dan Sudan.

Thursday, February 4, 2010

98,747 anggota polis naik gaji

03/02/2010 7:04pm

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 3 Feb. - Sejumlah 98,747 anggota dan pegawai polis akan mendapat penyelarasan kenaikan gaji dan elaun imbuhan tetap di bawah skim perkhidmatan baru berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penyelarasan itu membabitkan tiga pergerakan gaji tahunan dan kenaikan Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) daripada RM1,500 hingga RM6000 bergantung kepada pangkat dan perubahan jadual gaji matrik. - Utusan

Jangan sertai perhimpunan haram

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan yang disiarkan di sebuah blog kononnya polis tersalah menembak dua orang awam yang tidak berdosa di Gombak, 30 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebaliknya, mereka telah cuba merempuh anggota polis dalam kejadian tersebut.

Katanya, ekoran itu, sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan berhimpun di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, esok.

"Kita beri amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menjelaskan dakwaan dalam blog itu, beliau berkata, kejadian sebenarnya berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan Jinjang dekat sini terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, apabila polis mengarahkan kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan, kereta tersebut telah bertindak memecut ke arah Selayang seterusnya ke Gombak.

"Mereka juga cuba merempuh anggota polis menyebabkan kita terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan berkenaan dan terkena pemandu serta seorang penumpang wanita," katanya.

Bagaimanapun Chin Wah berkata, polis telah menghantar kedua-dua suspek tersebut untuk mendapatkan rawatan dengan segera.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas kereta itu, pihaknya mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Alor Setar.

"Selain itu, kita turut menemui parang, kapak, nombor pendaftaran palsu, pisau dan besi kuku kambing," jelasnya.

Menurut beliau, dua lelaki yang merupakan suspek utama telah dituduh di mahkamah pada 13 November tahun lalu atas pelbagai kesalahan manakala dua penumpang wanita yang berada dalam kereta itu ketika kejadian itu dijadikan sebagai saksi.

Kes itu, kata beliau masih dalam perbicaraan.

Menambah baik khidmat polis

Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my

SETIAP hari kita tidak akan terlepas daripada membaca berita mengenai pelbagai kejadian jenayah yang berlaku di seluruh negara - daripada kes bunuh, samun, ragut, ditipu melalui Internet dan terbaru membakar rumah-rumah ibadat serta penghinaan dalam laman blog.

Itu tidak termasuk kes-kes kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dadah dan manusia, pelacuran, rogol serta pelbagai kes jenayah yang sering kita lihat di media cetak dan elektronik.

Peningkatan perlakuan jenayah merupakan cabaran besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga keamanan dan kestabilan negara.

Dalam melaksanakan tugas menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku, pasukan PDRM turut menghadapi cabaran dalam pasukan itu sendiri seperti kes rasuah dan penyelewengan kuasa di kalangan anggota dan pegawai PDRM.

Transparency International Malaysia dalam kajian persepsinya pada tahun 2007 menyifatkan pasukan polis mempunyai intergriti paling rendah berbanding agensi awam yang lain.

Dalam kajian yang melibatkan orang awam dan sektor korporat itu, 56 peratus daripada mereka yang terlibat menyifatkan pasukan polis mempunyai tahap integriti dan ketelusan yang paling rendah, diikuti dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (25 peratus) dan pasukan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) iaitu 19 peratus.

Kes-kes rasuah yang dianggap serius berlaku pada satu ketika dahulu menyebabkan PDRM melancarkan kempen anti rasuah beberapa tahun lalu.

Melalui kempen itu, setiap anggota polis memakai lencana, 'Saya Anti Rasuah' dengan tujuan memberikan mesej jelas kepada orang awam bahawa anggota polis menolak rasuah.

Antara cawangan PDRM yang paling banyak dilemparkan dengan tuduhan rasuah ialah polis trafik. Ini kerana trafik merupakan cawangan yang paling banyak berinteraksi dengan orang awam di bandar dan di kampung-kampung.

Biarpun kejadian rasuah biasanya melibatkan dua pihak, namun dalam kes rasuah pasukan polis kebanyakan analisis, perbahasan dan perdebatan memberikan tumpuan kepada pihak yang menerima.

Ada pendapat mengatakan bahawa gaji yang rendah merupakan antara faktor berlaku kes rasuah dalam pasukan polis. Bagaimanapun ada juga yang berpandangan menaikkan gaji polis bukanlah jaminan kes rasuah dalam pasukan PDRM akan berakhir.

Ini kerana mereka yang bergaji jauh lebih tinggi daripada anggota polis turut dilaporkan terlibat dengan gejala rasuah.

Pada Februari 2004, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan, Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang dianggotai oleh 16 anggota bertujuan menjadikan PDRM sebuah pasukan yang lebih berwibawa selepas 197 tahun penubuhannya.

Pembentukan suruhanjaya berkenaan juga disifatkan amat penting untuk menambah baik kualiti siasatan polis dan meningkatkan pengurusan sumber manusia serta menyediakan kemudahan perumahan dan kebajikan lebih baik kepada anggota PDRM.

Biarpun selepas pembentukan suruhanjaya tersebut, pasukan PDRM terus dilemparkan dengan pelbagai tuduhan apabila kadar jenayah ragut serta culik, rogol dan bunuh kanak-kanak perempuan meningkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengumumkan mengenai kadar baru gaji dan elaun polis untuk anggota berpangkat sarjan, inspektor dan pegawai atasan semalam menyatakan bahawa kenaikan gaji polis itu adalah sebahagian daripada cadangan suruhanjaya tersebut tiga tahun lalu.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa kadar baru berkenaan akan meningkatkan taraf kehidupan anggota polis, sekali gus meningkatkan keupayaan dan prestasi pasukan berkenaan.

Skim berkenaan mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja itu bagi tujuan meningkatkan pengurusan dan operasi pasukan polis.

Sementara Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula dilaporkan berkata, kenaikan gaji itu adalah tepat pada masanya kerana pasukan polis bekerja keras dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

''Anggota polis perlu menikmati kadar gaji yang baik dan kenaikan gaji ini akan menjadi perangsang supaya mereka lebih produktif," katanya.

Kadar baru gaji dan elaun pasukan PDRM diharap menjadi perangsang kepada pasukan berkenaan untuk membanteras segala bentuk jenayah di seluruh negara dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Semua aduan orang ramai kepada polis diharap mampu disiasat dan diselesaikan pada waktu yang singkat dan kes seperti pembunuhan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin di mana penjenayahnya masih bebas sehingga ke hari ini tidak akan berulang.

Bagaimanapun, kebelakangan ini kepantasan pihak polis dalam menyiasat dan mendakwa penulis blog yang menghina institusi kesultanan Johor, menahan suspek kes bakar surau di Muar dan mendakwa mereka yang membakar gereja dan sekolah di Taiping mampu meningkatkan keyakinan rakyat kepada pasukan berkenaan.

Pengurangan kadar jenayah merupakan salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu.

Dalam mencapai NKRA tersebut PDRM turut dicadangkan supaya menggunakan khidmat laman web sosial "facebook" sebagai alternatif dalam usaha untuk menyelesaikan kes-kes jenayah.

Ketua Makmal NKRA bagi mengurangkan jenayah, Abdul Aziz Md. Noor menyifatkan laman web berkenaan dapat membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah memandangkan ia kini diguna secara meluas sebagai medium perantara oleh masyarakat.

"Sebelum ini kita menggunakan khidmat khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui Rakan Cop tetapi dengan pendekatan baru ini, diharap kes-kes jenayah dapat diselesaikan dengan segera.

"Contohnya dengan memaparkan gambar suspek bagi satu-satu kes melalui Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, secara tidak langsung orang awam dapat menyalurkan maklumat berkaitan kes itu kepada polis," katanya.

Tambah Abdul Aziz, selain dapat membantu polis mengesan penjenayah, penggunaan laman web sosial juga mampu merapatkan hubungan antara PDRM dan masyarakat.

Jenayah Pulau Pinang turun 15 peratus

BUTTERWORTH 3 Feb. - Kadar jenayah di Pulau Pinang berjaya dikurangkan sebanyak 15 peratus sepanjang bulan Januari ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama pihak polis dan orang awam dalam memerangi jenayah melalui pasukan sukarela seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rukun Tetangga.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kadar itu diharapkan berterusan agar sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah keseluruhan sebanyak lima peratus dan 20 peratus jenayah jalanan tahun ini tercapai.

Menurutnya, kerjasama antara polis dan badan sukarela berkenaan akan ditingkatkan dengan menarik penyertaan seluruh masyarakat termasuk golongan muda dalam pelbagai aktiviti pencegahan jenayah

"Polis juga telah mengenal pasti 10 kawasan panas yang menjadi tumpuan program memerangi jenayah ini, melibatkan lima daerah.

"Antara kawasan terlibat adalah Butterworth dan Mak Mandin di Seberang Perai Utara (SPU), Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan serta Bukit Minyak dan Bukit Mertajam di Seberang Perai Tengah," katanya ketika menghadiri program Kepolisan Berprofil Tinggi di sini hari ini.

Selain itu empat kawasan dikenal pasti sebagai kawasan panas di Timur Laut iaitu Central, Jelutong, Pulau Tikus dan Jalan Patani manakala di daerah Barat Daya melibatkan kawasan Bayan Lepas.

Program rondaan oleh ketua-ketua jabatan polis Ibu Pejabat Polis Daerah SPU itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Polis Zulkifli Alias.

Tambah Ayub, strategi mewujudkan kawasan panas mula membuahkan hasil apabila hanya satu kes ragut dilaporkan di sekitar Jalan Raja Uda di sini sejak Ogos lalu hingga Januari tahun ini.

Jelasnya, polis berhasrat menjadikan kawasan itu yang terkenal dengan aktiviti ragut, samun, peras ugut, judi dan kongsi gelap sebagai kawasan putih dalam masa terdekat.

"Polis juga akan mewujudkan satu bit polis di kawasan ini selain meningkatkan rondaan berterusan serta memperkemaskan pasukan rondaan berpayung.

"Ia bukan saja membolehkan masyarakat merasa selamat dengan kehadiran polis malah merancakkan lagi aktiviti perniagaan di sini," ujarnya.

98,747 polis dapat 'durian runtuh'

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 3 Feb. - Seramai 98,747 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) antara RM1,500 hingga RM6,000 berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan berita baik itu berkata, penyelarasan di bawah skim perkhidmatan baru itu disebabkan tiga pergerakan gaji tahunan dan kenaikan elaun ITKP, bergantung kepada pangkat dan perubahan jadual gaji matriks.

Menurutnya, skim baru itu melibatkan 10,678 orang pegawai kanan polis bermula daripada pangkat Inspektor hingga Timbalan Ketua Polis Negara manakala 88,069 lagi di kalangan anggota berpangkat rendah dari Konstabel hingga Sub Inspektor.

''Saya harap skim perkhidmatan baru ini akan memberikan semangat dan motivasi kepada seluruh warga PDRM sekali gus meningkatkan tekad untuk melahirkan pasukan polis yang lebih berintegriti, berwibawa dan mulia di mata masyarakat.

''Penawaran skim perkhidmatan baru itu sejajar dengan saranan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2005 selain bagi memastikan skim perkhidmatan polis sentiasa relevan dan berdaya saing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pascaKabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut Hishammuddin, pelaksanaan skim perkhidmatan baru itu yang dilaksanakan secara berperingkat melibatkan perubahan gaji matriks Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) kerana gabungan pangkat SAC I dan SAC II, Timbalan Penguasa Polis (DSP), Penolong Penguasa Polis(ASP) dan Inspektor Polis.

Hishammuddin menjelaskan, bagi fasa seterusnya akan menyaksikan perubahan gaji matriks dan elaun di kalangan pegawai rendah polis dan Konstabel.

''Bagi pangkat Konstabel hingga Koperal, pengurusan tertinggi PDRM masih berurusan dengan pihak agensi pusat untuk menghalusi skala gaji termasuk imbuhan tetap.

Katanya, ini membabitkan Sarjan, Sarjan Mejar dan Sub Inspektor yang akan menikmati penambahan tiga skala tangga gaji akhir dalam skim baru itu.

''Saya akan bertemu dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk persatuan-persatuan yang mewakili kumpulan anggota lain-lain pangkat agar usaha ini dapat difahami oleh semua peringkat.

''Skim perkhidmatan baru yang diperkenalkan itu bertujuan menambah baik dalam perkara yang berkaitan kelayakan masuk, penggredan semula struktur pangkat, gaji matriks dan

Wednesday, February 3, 2010

02/02/2010 7:04pm


PULAU PINANG 2 Feb. – Polis Pulau Pinang hari ini menahan seorang lelaki di Bagan Jermal, Butterworth dekat sini, dipercayai telah membuat 13 panggilan bom palsu di beberapa premis bank di sekitar negeri ini.


Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, penganggur berusia 40 tahun yang turut dikehendaki polis berkaitan beberapa kes samun bersenjata itu, ditahan kira-kira pukul 11.10 pagi ini.


"Hasil intipan dan risikan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat berhubung beberapa panggilan bom palsu di sekitar negeri ini bulan lepas, telah berjaya mengesan lelaki berkenaan.


"Turut ditemui bersama lelaki itu ialah sebuah telefon bimbit dan beberapa kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) yang digunakan untuk membuat panggilan bom palsu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata, kesemua kad sim yang digunakan lelaki berkenaan didaftarkan atas namanya.


Bulan lalu, beberapa buah bank di Pulau Pinang gempar selepas menerima panggilan mendakwa terdapat bom di premis mereka dan hasil siasatan mendapati panggilan berkenaan adalah palsu. – Bernama
Add to Google

Tuesday, February 2, 2010

Gaji baru polis diumum hari ini?

Oleh ASSIM HASSAN
assim.hassan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 1 Feb. – Kerajaan akan mengumumkan kadar baru gaji dan elaun anggota polis berpangkat sarjan ke atas, yang mampu meningkatkan taraf hidup anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein esok.

Melalui skim gaji dan elaun baru tersebut, pegawai polis berpangkat inspektor dijangka menerima gaji bulanan lebih RM3,000 manakala sarjan pula bakal menikmati imbuhan lebih RM2,000 sebulan.

Kenaikan terbesar melibatkan inspektor baru yang akan menerima gaji permulaan RM2,060 berbanding RM1,492 sebelum ini, di samping kenaikan beberapa imbuhan lain seperti elaun rumah dan elaun sara hidup.

Pemegang diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga dibenarkan menyertai PDRM dengan pangkat sarjan dan akan menikmati gaji permulaan RM1,500. Gaji pangkat sarjan sebelum ini ialah RM890.

Peningkatan itu berkuat kuasa pada 1 Januari 2009. Dengan pengumuman kenaikan itu, kesemua anggota dan pegawai terlibat bakal mendapat ‘durian runtuh’ melalui bayaran tunggakan bermula tarikh tersebut.

Hishammuddin ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, beliau akan membuat kenyataan mengenai perkara itu esok.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, anggota polis berpangkat sarjan, inspektor dan pegawai kanan akan menerima kadar gaji dan elaun yang tinggi melalui skim gaji baru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Laporan itu menyebut, skim gaji baru itu telah diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan disokong oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan PDRM.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi tidak menafikan atau menidakkan laporan tersebut sebaliknya enggan memberikan ulasan lanjut.

“Jika apa yang dilaporkan akhbar itu benar, benar lah. Jika tidak benar, maka tidaklah.

“Saya tidak boleh ulas lanjut. Tunggulah sidang akhbar yang akan diadakan.

“Perkara itu (kenaikan gaji dan elaun) masih dalam perbincangan dengan pegawai-pegawai,” katanya.

Mat Rempit kantoi di hospital

PADANG BESAR: Seorang Mat Rempit berusia 15 tahun yang melarikan diri selepas melanggar seorang anggota polis ditahan sejurus menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, malam kelmarin.

Polis yang mengiringi anggotanya yang cedera parah menerima rawatan di HTF, terserempak dan menahan pelajar berkenaan ketika suspek selesai mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital, dua jam selepas kemalangan itu.


Konstabel Mohd Azlan Selamat, 24, cedera di kaki kanan, tangan dan muka selepas dilanggar seorang daripada tiga penunggang motosikal yang terbabit lumba haram di Kilometer 32, Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, jam 10.30 malam.


Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata Mohd Azlan, dari Balai Polis Kaki Bukit, dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di sebuah wad di HTF.


Katanya, ketika kejadian Mohd Azlan bersama seorang rakan setugas yang menaiki motosikal terserempak tiga pemuda berlumba haram.


“Mangsa mengarahkan tiga penunggang berkenaan berhenti, tetapi mereka enggan manakala seorang daripadanya didapati pelajar bawah umur melanggarnya.


“Mohd Azlan terpelanting di tepi jalan raya selepas dilanggar manakala suspek yang menunggang motosikal tanpa memasang lampu dan memakai topi keledar, turut terjatuh, tetapi berjaya melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di situ.


“Seorang anggota kami memaklumkan kejadian ke balai berhampiran sebelum membawa mangsa ke HTF untuk menerima rawatan,” katanya.


Beliau berkata, ketika menunggu Mohd Azlan menerima rawatan, beberapa anggota terserempak seorang pelajar yang cedera dan turut mendapatkan rawatan di hospital sama dan selepas siasatan, pihaknya mendapati dia suspek yang melarikan diri selepas melanggar anggota polis berkenaan.


Che Man berkata, berikutan penahanan pelajar yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, pihaknya menahan dua lagi rakannya di rumah masing-masing di sebuah tanah rancangan di Padang Besar, malam kelmarin.


“Pelajar yang juga anak peneroka itu belum memiliki lesen memandu kerana masih bawah umur manakala dua rakannya berusia 18 dan 19 tahun bekerja sebagai tukang rumah dan penoreh getah di tanah rancangan itu.


“Ketiga-tiga mereka melakukan pelbagai aksi sambil berlumba di jalan raya. Pelajar terbabit dibebaskan selepas diambil keterangan manakala dua rakannya masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Gaji polis ikut kelayakan akademik

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) ingin memberi maklum balas terhadap komen ‘Dead, Emmett84, Redbeast, Arepeace8733, Botak8383, Anaktani, Ila2010 serta Pak Ngah’ yang disiarkan dalam ruangan E-mel Anda dan iM Lapor akhbar ini, mengenai isu Skim Perkhidmatan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis serta Konstabel mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 25, Tahun 2009.

Untuk pengetahuan semua pengirim, penyelarasan gaji bagi pangkat konstabel, lans koperal dan koperal kekal memandangkan tiada perubahan dari segi kelayakan masuk iaitu dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan yang setaraf dengannya.

Cawangan Perkhidmatan PDRM sudah mengemukakan penambahbaikan skala gaji mengikut pangkat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun, keputusan skala gaji ditetapkan mengikut kelayakan akademik dan prinsip kadar upah untuk kerja oleh pihak JPA.

Skala gaji bagi pangkat sarjan, sarjan mejar dan sub inspektor adalah berasaskan kelayakan masuk akademik iaitu diploma atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf dengannya.

Pelarasan gaji bagi skim baru hanya akan dilaksanakan selepas pegawai dan anggota pangkat rendah PDRM menerima tawaran opsyen Skim Perkhidmatan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 25, Tahun 2009.

SUPERINTENDAN
RASDI RAMLI,
Penguasa Perhubungan Awam, Cawangan Perhubungan Awam Bukit Aman.

Habuan seks teman lelaki

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/01/30


PUCHONG: Kebahagiaan dicari menerusi perkenalan singkat seorang gadis yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Hamid Khan Tapah, Perak, dengan seorang lelaki akhirnya bertukar ngeri apabila dia dirogol berulang kali lelaki itu.


Difahamkan, kejadian gadis itu dirogol lelaki durjana berusia 20-an itu bermula selepas dia melarikan diri mengikut kekasihnya itu ke Pandan Indah, dekat sini, November lalu. Menurut sumber polis, ketika di Pandan Indah gadis terbabit menetap bersama kekasihnya di bilik yang disewa kekasihnya itu. “Di bilik itu, lelaki berkenaan merogol gadis itu buat pertama kali tanpa kerelaan. Selepas kejadian pertama, gadis berusia 14 tahun itu berterusan menjadi habuan nafsu seks lelaki itu secara paksa. “Selepas kira-kira sebulan gadis itu menetap di Pandan Indah, keluarganya berjaya mengesannya sebelum membawanya balik ke kampung mereka di Bidor, Perak. “Bagaimanapun, hanya selepas tiga hari di Bidor, gadis itu dibawa lari lelaki itu tanpa pengetahuan keluarganya. Tetapi kali ini gadis terbabit dibawa ke Puchong Utama, Selangor,” katanya.


Sumber berkata, tidak tahan menjadi ‘alat’ pemuas nafsu lelaki itu, gadis terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Puchong. Susulan laporan itu, polis melanjutkan kes berkenaan dengan membawa gadis itu ke Balai Polis Tapah sebelum mangsa menceritakan kejadian dia dirogol lelaki terbabit kepada ahli keluarganya di balai polis itu. “Siasatan awal mendapati pengadu masih bersekolah di Tapah, Perak dan bertindak keluar rumah sebelum mengikut teman lelakinya ke Pandan Indah, Ampang. “Ketika di bilik sewa teman lelakinya di Pandan Indah itu, mereka sudah beberapa kali melakukan hubungan seks. Bagaimanapun, pengadu mendakwa hubungan itu dilakukan secara paksa,” katanya.

50 rempuh polis

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/02/01


KUALA LUMPUR: Terkejut dengan kehadiran polis, kira-kira lima puluh pengunjung sebuah pusat hiburan nekad merempuh pihak berkuasa dalam usaha untuk meloloskan diri dalam satu serbuan di kelab malam Jalan Loke Yew, kira-kira 4 pagi semalam.


Dalam operasi itu, sepasukan polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dirempuh pengunjung pusat hiburan itu kerana mereka yang rata-ratanya dalam keadaan mabuk dan khayal khuatir ditahan polis. Namun, mujur rempuhan itu tidak mendatangkan kecederaan kepada anggota polis dan juga pengunjung terbabit dan ia mula reda tidak berapa lama kemudian sebelum semua mereka diperiksa. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, polis kemudian melakukan pemeriksaan ke atas 41 individu yang berada dalam premis terbabit. “Hasil ujian air kencing, dua puluh satu pengunjung masing-masing, 13 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 22 hingga 38 tahun didapati positif dadah jenis `eramin five’ dan ecstacy. “Pemeriksaan turut menemui pelbagai jenis dadah antaranya `eramin five’, ecstacy, syabu dan ganja yang bertaburan di lantai premis terbabit,” katanya. Menurutnya, selain IPKKL, pihaknya turut bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Cheras dan Dang Wangi untuk menggempur pusat hiburan terbabit yang dikesan sangat licik menjalankan perniagaan mereka.



Semua mereka dibawa ke IPKKL untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Related Posts with Thumbnails