IPOH 6 Jan. - Polis akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap ibu bapa atau penjaga remaja di bawah usia 18 tahun yang terlibat dalam aktiviti mat rempit.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, dalam usaha menangani isu 'panas' tersebut, polis tidak teragak-agak memanggil ibu bapa terbabit sekiranya anak mereka ditangkap kerana terlibat dengan gejala tersebut.
Tindakan tegas itu kata beliau, perlu diambil memandangkan jumlah aktiviti samseng jalanan dan merempit semakin meningkat di negeri ini.
"Operasi tahun lalu terhadap kumpulan ini mencatatkan peningkatan dengan penangkapan sebanyak 59 orang berbanding 30 orang tahun sebelumnya.
"Ini menunjukkan kegiatan samseng jalanan makin meningkat dan membahayakan orang awam. Saya percaya dengan tindakan lebih tegas ini, ibu bapa atau penjaga akan lebih mengambil berat aktiviti anak-anak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
Pada masa yang sama ujar Zulkifli, polis Perak akan memantapkan Unit Tindakan Cepat (SWAT) bagi mencapai sasaran baru menangani kes jenayah terutama jenayah jalanan sepanjang tahun ini walaupun terpaksa berdepan dengan peruntukan kewangan terhad.
Menurutnya, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), projek perintis yang dilaksanakan di Ipoh itu akan menjadi penghubung yang lebih mesra antara anggota polis dan masyarakat.
Unit itu katanya, akan diperhebatkan membabitkan anggota peronda yang berhenti pada masa tertentu untuk berinteraksi dengan masyarakat dalam kawasan rondaan.
"Kebimbangan masyarakat terhadap jenayah masih tinggi dan keberkesanan polis menangani isu jenayah masih belum memuaskan hati mereka.
"Oleh itu, semua anggota perlu bekerja dengan lebih keras dan bijak serta menggunakan sumber-sumber yang ada bagi membendung jenayah sekali gus mengembalikan keyakinan masyarakat," katanya.
Selain itu ujar beliau, bagi merapatkan hubungan antara polis dan masyarakat, pihaknya juga akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter.
Anggota-anggota yang bertugas di perkhidmatan kaunter katanya, akan dipilih khas serta menerima latihan yang secukupnya supaya mereka dapat memberikan layanan mesra dan profesional dengan konsisten.