Monday, January 25, 2010

Mayat pemuda ditemui terapung

BERA 24 Jan. - Seorang pemuda, Mohd. Khalil Khanudin, 23, yang dilaporkan hilang ketika menjaring ikan di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor di sini petang kelmarin, dijumpai terapung 30 kilometer dari tempat kejadian pagi ini.


Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Zahid Mohd. Noor berkata, mayat mangsa dijumpai orang awam yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 11.15 pagi ini.


Katanya, mayat mangsa dijumpai tersangkut di kawasan rintangan sampah di Pulau Pesagi selepas dihanyutkan oleh arus deras.


"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Mohd. Khalil dilaporkan hilang ketika menjaring ikan bersama bapanya di Sungai Pahang, dekat Kampung Batu Bor di sini, kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin.


Polis yang menerima laporan mengenai kehilangan mangsa telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat.


Ia melibatkan seramai 51 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dengan dibantu unit skuba Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 15 buah bot.


Kehilangan mangsa hanya disedari oleh bapanya yang berusia 49 tahun, dalam tempoh kira-kira 20 minit selepas dia dipercayai dihanyutkan oleh arus deras.

Related Posts with Thumbnails