PUTRAJAYA 27 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia memberi tambahan masa kepada pihak majikan industri untuk tampil berterus terang sekiranya didapati menggajikan pekerja asing secara haram.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, segelintir pihak tersebut sudah mengadakan pertemuan dengannya dan meminta supaya operasi besar-besaran memburu pekerja di kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangguhkan.
"Kita bersedia mempertimbangkan permintaan mereka sekiranya mereka bekerjasama dalam hal ini, jika tidak sudah tiba masanya kita memburu mereka (majikan yang menggajikan PATI).
"Jika mereka jujur serta mendedahkan berapa ramai pekerja asing haram terlibat dalam industri mereka, kita akan pertimbangkan," katanya.
Hishammuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara KDN dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Jabatan Imigresen sebelum ini dilaporkan akan mengadakan operasi besar-besaran bagi memburu pekerja asing haram pada 15 Februari ini, namun beberapa pihak meminta ia ditangguhkan.
Kata Hishammuddin, sokongan daripada pihak industri amat diperlukan memandangkan kebanjiran PATI di negara ini amat membimbangkan.
"Tindakan ini bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi adalah sesuatu yang perlu dilakukan dan mendapat sokongan pihak industri," katanya
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pengambilan ahli-ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan diyakini mampu mengurangkan penggantungan terhadap pekerja asing.
''Jika ada kerjasama antara Rela dan JPAM, Kementerian mungkin akan mewajibkan syarikat keselamatan untuk menggajikan di kalangan anggota itu sebagai pengawal keselamatan," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil langkah mengehadkan pekerja asing bagi sesebuah syarikat, Hishammuddin berkata, ia boleh dilakukan namun dikhuatiri akan menyebabkan syarikat tersebut menggaji pekerja asing yang masuk secara tidak sah pula.