KUALA LUMPUR 6 Jan. - Meskipun sudah berpuluh-puluh kali diserbu, namun aktiviti pelacuran di kawasan Brickfields termasuk di Jalan Thambipillay di sini masih terus beroperasi.
Buktinya, dalam operasi pada pukul 8 malam semalam, sebanyak tiga premis diserbu Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur kerana menjalankan aktiviti pelacuran.
Pegawai Turus D7, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, hasil serbuan itu pihaknya telah menahan 15 pelacur, tiga lelaki disyaki penjaga mereka dan lapan pelanggan.
"Hasil pemeriksaan, kita mendapati 13 daripada pelacur itu adalah warga tempatan dan dua lagi warga asing yang berusia 24 hingga 34 tahun.
"Pelanggan yang ditahan terdiri daripada warga asing dan tempatan berusia di antara 27 dan 55 tahun," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini.
Tambahnya, pelangan-pelangan dikenakan bayaran sekitar RM30 hingga RM50 untuk setiap perkhidmatan pelacur terbabit.
Razali berkata, aktiviti pelacuran di Jalan Thambipillay mungkin dapat dihapuskan jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang menjalankan kegiatan pelacuran.
"Sehingga kini polis telah melakukan 38 kali serbuan termasuk yang dilakukan hari ini.
"Daripada jumlah itu 30 serbuan dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields, tujuh oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan sekali oleh Bukit Aman," ujarnya.
Menurutnya, polis akan mencadangkan kepada DBKL untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis tersebut.
"Kita akan mencadangkan supaya pemilik premis yang menjalankan aktiviti pelacuran dikenakan tindakan tegas. Namun keputusan terpulanglah kepada pihak berkuasa tempatan," katanya.