TAMPIN 6 Jan. - Kesemua jenazah mangsa bunuh di Kampung Batang Rokan, Gemencheh selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan selepas solat Maghrib malam ini.
Jenazah Atan Daud, 90, isterinya, Sufiah Keatas, 80, menantu Ismail Awang, 76 dan cucunya, Siti Khadijah Ismail, 22 tiba di Masjid Kampung Batang Rokan pada pukul 6.51 petang ini dengan menggunakan trak tentera.
Suasana sedih mula menyelubungi pekarangan masjid lewat petang ini apabila ahli keluarga, saudara mara dan kenalan mangsa tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat kesemua jenazah dibawa masuk ke pekarangan masjid.
Ahli keluarga terdekat dibenarkan memberikan penghormatan terakhir kepada kesemua mangsa sebelum solat Maghrib.
Jenazah empat sekeluarga itu kemudiannya dikebumikan pada pukul 7.53 malam ini dengan dibantu 15 anggota tentera dari 21 Artileri Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Kesemua ahli keluarga termasuklah isteri Ismail, Zaharah Atan, 59 dan anak perempuannya, Siti Mariam Ismail, 19 berada di tanah perkuburan berkenaan sambil ditenangkan oleh ahli keluarga terdekat.
Sementara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, sepasukan anggota polis negeri ini telah pun dihantar ke IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk membawa balik suspek yang dikenali sebagai Rashidi Ismail, 34.
Suspek yang ditahan di atas jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.05 petang ini selepas 24 jam menjadi buruan polis.
''Kita akan menahan lelaki itu selama seminggu untuk siasatan dan barulah kita mengetahui motif sebenar pembunuhan itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ditanya sama ada polis berjaya menemui kepala Ismail yang didapati hilang, Zaki memberitahu:
''Kita telah mencari di kawasan rumah tetapi masih belum menemuinya. Kita akan terus mencari petunjuk untuk mendapatkan semula kepala mangsa bunuh itu."
Sementara itu, di Shah Alam, suspek dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 malam ini bagi membantu usaha mengesan kepala mangsa yang kononnya dikatakan ditanam di kawasan itu.
Dia dibawa dari IPD Dang Wangi pukul 9.20 malam ini, sebelum dibawa menaiki sebuah kereta polis ke tanah perkuburan itu kira-kira 20 minit kemudian.
Menjawab soalan pemberita sama ada, Rashidi mempunyai rekod jenayah, Zaki menafikan, malahan perkara itu yang dirujuk ke Jabatan Narkotik juga menunjukkan suspek tidak terlibat dengan dadah.
Mengenai dakwaan kemungkinan perkara ini ada hubung kait dengan amalan ilmu hitam, Zaki memberitahu, pihaknya tidak dimaklumkan atau menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.