Wednesday, January 20, 2010

Polis rampas mercun RM20,000 diseludup dari negara jiran

PADANG BESAR 19 Jan. - Walaupun sambutan Tahun Baru Cina masih sebulan lagi, kegiatan menyeludup masuk mercun sudah semakin berleluasa, khususnya di pintu masuk sempadan tanah air.


Semalam, polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM20,000 yang diseludup dari negara jiran di sebuah tapak pelupusan sampah di sini, hanya 80 meter dari sempadan Malaysia-Thailand.


Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, mercun dan bunga api itu ditemui dalam 36 buah kotak.


"Bertindak atas maklumat awam, kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuat rondaan di kawasan itu menemui mercun dan bunga api tersebut.


"Kita percaya barangan itu baru dibawa masuk ke negara ini secara sedikit demi sedikit untuk pasaran sempena sambutan Tahun Baru Cina bulan depan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.


Che Man menyatakan, polis masih meneruskan siasatan lanjut untuk memberkas individu terlibat.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis mengenai sebarang kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api di kawasan mereka.

Related Posts with Thumbnails