PULAU PINANG 18 Jan. - Keberanian 10 orang pegawai dan anggota polis menembak mati dua orang penjenayah di ladang kelapa sawit di Sungai Bakap pada 9 Januari lalu, mendapat penghargaan beberapa badan bukan kerajaan di negeri ini.
Penghargaan itu diberikan tiga pertubuhan iaitu Kelab Lion Antarabangsa Daerah 308 B2, Kelab Lion Tanjung dan Kelab Wartawan Pulau Pinang dalam satu majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.
Pengerusi penganjur, Lim Chee Seng berkata, penghargaan itu diberikan kepada anggota terlibat sebagai tanda terima kasih kerana berjaya menamatkan siasatan terhadap kes tersebut serta beberapa kes lain yang berkait rapat dengan bahan letupan.
Katanya, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub mendahului senarai penerima diikuti Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi Negeri, Supritendan Nashir Ya; Asisten Supritendan Hamdan Abdul Talip; Cif Inspektor Azhril Hashim; Sarjan Mejar Abdul Wahab Drahman dan Sarjan Abdul Rashid Yusop.
Turut menerima surat penghargaan ialah Koperal Zulkifli Amin Mat Yazid; Koperal Sayed Abdul Mutalib Sayed Abdul Rahman; Koperal Rosli Lahap; Koperal Mohd. Nasir Abdul Aziz dan Lans Koperal Azahari Mohamed, kesemuanya dari Unit Pemusnah Bom (UPB).
"Penghargaan ini diberikan kerana keberanian yang ditunjukkan dalam menjalankan tugas yang sanggup membahayakan diri mereka sendiri demi menjaga keselamatan negara.
"Diharap tindakan yang kami lakukan hari ini dapat dicontohi oleh pihak lain pada masa depan," katanya.
Dalam kejadian pada 9 Januari lalu, dua lelaki berusia 52, dan lingkungan 40-an ditembak mati dalam insiden berbalas tembak dan cubaan membaling sebutir bom tangan ke arah polis.