Tuesday, February 16, 2010

Taktik berkesan arah mat rempit tolak motosikal

PULAU PINANG 14 Feb. - Strategi polis Pulau Pinang "mendidik" mat rempit yang ditahan dalam operasi dengan mengarahkan mereka menolak motosikal sejauh tujuh hingga 10 kilometer mula membuahkan hasil apabila kegiatan lumba haram di sekitar negeri ini mula berkurangan sejak Januari lepas.

Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Negeri Supt Wan Aziz Wan Hussin berkata, taktik menolak motosikal berkenaan telah digunakan dalam operasi "Ambang Tahun Baru" lepas di Lebuh Raya Expressway Jelutong.

"Bagi yang didapati bersalah pada ketika operasi itu, mereka dikehendaki menolak motosikal sendiri daripada lebuh raya berkenaan sehingga Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang iaitu kira-kira lapan kilometer," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, taktik itu telah diguna pakai dalam beberapa operasi lumba haram di sekitar kawasan pulau antaranya di Padang Kota Lama, Tanjung Tokong, Persiaran Gurney dan Bukit Jambul.

"Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menolak dan itulah cara terbaru untuk mendidik mat rempit yang mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya dan penduduk di sekitar dengan bunyi bising enjin motosikal mereka," katanya.

Wan Aziz berkata, taktik itu membuahkan hasil dan penduduk sekitar kawasan yang sering dijadikan "litar" lumba haram mula menarik nafas lega kerana kegiatan merempit semakin berkurangan.

Menurutnya, ada di antara mat rempit yang pernah ditahan polis "menyebarkan" taktik terbaru polis itu kepada rakan-rakan dan ia membuatkan mereka takut untuk berlumba.

"Tidak kiralah operasi di mana sekalipun, mereka tetap kena tolak motosikal sehingga ibu pejabat polis daerah yang berdekatan dan penonton juga tidak terkecuali," katanya.

Beliau menambah, walaupun kegiatan lumba haram sudah berkurangan, namun pihaknya sentiasa memantau kegiatan itu dari semasa ke semasa.

"Kami sentiasa memantau kegiatan lumba haram dan dalam masa yang sama, polis telah meletakkan beberapa anggota untuk "bergaul" dengan kumpulan mat rempit bagi memastikan kita mendapat maklumat mereka," katanya. - BERNAMA
Related Posts with Thumbnails