Sunday, February 7, 2010

Datuk Mohd. Hazam terbunuh

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Ketua Penolong Pengarah (Siasatan II) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Hazam Abdul Halim, terbunuh setelah kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 419.8, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke ibu negara, tengah malam tadi.

Allahyarham Mohd. Hazam, 49, ketika itu menaiki kereta rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Proton Perdana bersama pemandunya, Lans Koperal Asminto Salimin, 27.

Perdana yang dipandu oleh Asminto itu dikatakan terlanggar belakang sebuah lori treler membawa muatan tiang lampu yang berhenti di lorong kecemasan, berhampiran susur keluar Bukit Tagar.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, Allahyarham Mohd. Hazam yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian.

Asminto turut mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dekat sini. Keadaan beliau dilaporkan kritikal.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke ibu negara setelah selesai bermesyuarat di Ipoh, Perak.

Ketua Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, berikutan rempuhan itu, Allahyarham tersepit di tempat duduknya dan terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat.

"Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Hussin percaya ketika kejadian, pemandu pegawai polis berpangkat Senior Asisten Komisioner II itu tidak menyedari lori treler berkenaan berhenti di laluan tersebut sebelum merempuh kenderaan terbabit.

Beliau memberitahu, jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat serta dikafankan di tempat yang sama sebelum dituntut oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 5.20 pagi ini.

Jenazah beliau dikebumikan di Makam Haji Said, Taman Tuanku Jaafar di Seremban, Negeri Sembilan sebelum solat Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang besar kepada PDRM.

"Arwah begitu berdedikasi dan bertanggungjawab ketika bertugas. Sumbangan serta komitmen beliau akan dikenang dalam sejarah PDRM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya mengenai perubahan pada diri Allahyarham, Nooryah berkata:

"Sejak kebelakangan ini, Arwah selalu cakap dia sedih. Tapi Arwah tidak pernah cakap sebab atau punca dia sedih".

Bagi mereka yang mengenai Allahyarham, beliau adalah seorang yang cukup berdedikasi serta serius dalam menjalankan tugas.

Bagi kebanyakan wartawan pula, arwah dikenali sebagai seorang pegawai polis yang sangat profesional ketika berhadapan dengan media.

Sebelum menjawat jawatan ini, Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ketua Polis Daerah Segamat, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini mula menyertai bidang kepolisan pada 1985. Lima tahun kemudian beliau mendirikan rumah tangga dan kini memiliki enam cahaya mata.

Allahyarham juga dikatakan sebagai pegawai kanan yang tidak pernah jemu untuk menimba pelbagai ilmu pengetahuan tanpa mengira batas masa dan sempadan.

Ini terbukti apabila beliau memegang beberapa kelayakan tertinggi termasuk Sarjana Pengajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia; Ijazah Sarjana Muda, Sains Sosial dari Universiti Malaya; Diploma Lanjutan Pengurusan Sumber Manusia dari University Of Hull England dan Diploma Pengajian Pertahanan dari Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Kuala Lumpur.
Related Posts with Thumbnails