Lambakan warga asing ada di mana-mana. Ia bukan luar biasa tetapi sudah semakin biasa.Isunya kenapa kehadiran warga asing ini semakin berleluasa. Adakah mereka datang ke negara ini secara sah atau masuk sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
Mungkinkah tiada sekatan ke atas mereka, atau pun istilah 'sindrom selamat' yang dilabelkan warga asing mengenai Malaysia telah menjadikan golongan itu terus tertawan untuk mendiami negara hebat ini.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan, dalam tempoh tiga jam sahaja seramai 114 orang PATI telah ditahan dan mereka juga adalah warga asing yang tidak diundang.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen sah memasuki negara ini, selain Seksyen 15(4) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa serta Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana memiliki permit palsu.
Fenomena warga asing sama ada yang mempunyai permit sah atau PATI bukan sahaja dibimbangi di Kuala Lumpur tetapi juga di sekitar bandar ini.
Kawasan tumpuan seperti stesen bas dan pusat membeli belah Terminal 1, KM Plaza, Taman Tuanku Ja'afar (TTJ), Dataran Senawang, pusat industri di Sungai Gadut, Seremban Selatan, Nilai, pekan Tampin dan pusat hiburan di bandar ini.
Antara warga asing yang paling ramai di bandar ini ialah dari Indonesia, India, Nepal, Afrika, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Bangladesh dan China.
Dalam konteks ini, pihak berkuasa seperti imigresen, polis dan Angkatan Relawan Rakyat (Rela) telah melaksanakan pelbagai operasi mengekang kebanjiran PATI dan memeriksa ketulenan pas masuk warga asing ke negara ini.
Ini semua bertujuan memastikan mereka yang berada dalam negara ini benar-benar kumpulan yang layak dan mendapat 'lampu hijau' dari kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, pendedahan yang dibuat oleh PATI ketika ditemui baru-baru ini dalam Ops Kutip di sini cukup menggemparkan apabila membongkar modus operandi memasuki negara ini.
Kata PATI itu, mereka menceroboh masuk ke Malaysia melalui sempadan jalan darat atau sungai selepas menyelinap masuk ke negara jiran seperti Thailand dan wilayah yang mempunyai kepulauan kecil.
PATI itu juga memasuki negara melalui perairan selepas menaiki kapal dan berlabuh di pesisir pantai sebelum berenang masuk ke negara ini ketika malam, subuh dan senja.
Satu lagi fenomena biasa yang dilakukan oleh PATI ialah memasuki Malaysia sebagai pelancong di pintu masuk negara tetapi bertekad tinggal di negara ini secara sembunyi tanpa mempunyai visa dan lebih masa.
Lebih mengejutkan, golongan PATI lebih berani apabila mengadakan hubungan cinta dan berkahwin dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan 'kelebihan' berada di Malaysia.
Apa yang didedahkan itu merupakan satu kebimbangan dan boleh menyebabkan keselamatan negara terancam.
Kes jenayah membabitkan warga asing juga kian meningkat khususnya rompakan, pembunuhan dan rogol, selain pelacur, pegawai perhubungan pelanggan (GRO), pekerja rumah urut dan pondan.
Selain itu, faktor kesihatan yang melibatkan PATI juga meningkat biarpun warga negara asing yang datang ke negara ini secara sah diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ramai PATI yang menceroboh masuk ke negara ini datang dari kawasan mundur di negara asal mereka mengakibatkan merebaknya penyakit seperti AIDS, tibi dan penyakit kelamin.
Maka, sebagai rakyat Malaysia, kita menghormati kehadiran warga asing yang sah ke negara ini tetapi mereka hendaklah menghormati budaya masyarakat di sini.
Fenomena selesa warga asing dan PATI ini yang tidak menghormati undang-undang negara wajar disingkir kerana rakyat Malaysia hanya menerima mereka yang tahu adab dan kehidupan bersopan sebagaimana rakyat di negara ini cintakan keamanan dan keharmonian.