Thursday, February 4, 2010

Menambah baik khidmat polis

Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my

SETIAP hari kita tidak akan terlepas daripada membaca berita mengenai pelbagai kejadian jenayah yang berlaku di seluruh negara - daripada kes bunuh, samun, ragut, ditipu melalui Internet dan terbaru membakar rumah-rumah ibadat serta penghinaan dalam laman blog.

Itu tidak termasuk kes-kes kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dadah dan manusia, pelacuran, rogol serta pelbagai kes jenayah yang sering kita lihat di media cetak dan elektronik.

Peningkatan perlakuan jenayah merupakan cabaran besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga keamanan dan kestabilan negara.

Dalam melaksanakan tugas menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku, pasukan PDRM turut menghadapi cabaran dalam pasukan itu sendiri seperti kes rasuah dan penyelewengan kuasa di kalangan anggota dan pegawai PDRM.

Transparency International Malaysia dalam kajian persepsinya pada tahun 2007 menyifatkan pasukan polis mempunyai intergriti paling rendah berbanding agensi awam yang lain.

Dalam kajian yang melibatkan orang awam dan sektor korporat itu, 56 peratus daripada mereka yang terlibat menyifatkan pasukan polis mempunyai tahap integriti dan ketelusan yang paling rendah, diikuti dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (25 peratus) dan pasukan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) iaitu 19 peratus.

Kes-kes rasuah yang dianggap serius berlaku pada satu ketika dahulu menyebabkan PDRM melancarkan kempen anti rasuah beberapa tahun lalu.

Melalui kempen itu, setiap anggota polis memakai lencana, 'Saya Anti Rasuah' dengan tujuan memberikan mesej jelas kepada orang awam bahawa anggota polis menolak rasuah.

Antara cawangan PDRM yang paling banyak dilemparkan dengan tuduhan rasuah ialah polis trafik. Ini kerana trafik merupakan cawangan yang paling banyak berinteraksi dengan orang awam di bandar dan di kampung-kampung.

Biarpun kejadian rasuah biasanya melibatkan dua pihak, namun dalam kes rasuah pasukan polis kebanyakan analisis, perbahasan dan perdebatan memberikan tumpuan kepada pihak yang menerima.

Ada pendapat mengatakan bahawa gaji yang rendah merupakan antara faktor berlaku kes rasuah dalam pasukan polis. Bagaimanapun ada juga yang berpandangan menaikkan gaji polis bukanlah jaminan kes rasuah dalam pasukan PDRM akan berakhir.

Ini kerana mereka yang bergaji jauh lebih tinggi daripada anggota polis turut dilaporkan terlibat dengan gejala rasuah.

Pada Februari 2004, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan, Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang dianggotai oleh 16 anggota bertujuan menjadikan PDRM sebuah pasukan yang lebih berwibawa selepas 197 tahun penubuhannya.

Pembentukan suruhanjaya berkenaan juga disifatkan amat penting untuk menambah baik kualiti siasatan polis dan meningkatkan pengurusan sumber manusia serta menyediakan kemudahan perumahan dan kebajikan lebih baik kepada anggota PDRM.

Biarpun selepas pembentukan suruhanjaya tersebut, pasukan PDRM terus dilemparkan dengan pelbagai tuduhan apabila kadar jenayah ragut serta culik, rogol dan bunuh kanak-kanak perempuan meningkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengumumkan mengenai kadar baru gaji dan elaun polis untuk anggota berpangkat sarjan, inspektor dan pegawai atasan semalam menyatakan bahawa kenaikan gaji polis itu adalah sebahagian daripada cadangan suruhanjaya tersebut tiga tahun lalu.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa kadar baru berkenaan akan meningkatkan taraf kehidupan anggota polis, sekali gus meningkatkan keupayaan dan prestasi pasukan berkenaan.

Skim berkenaan mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja itu bagi tujuan meningkatkan pengurusan dan operasi pasukan polis.

Sementara Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula dilaporkan berkata, kenaikan gaji itu adalah tepat pada masanya kerana pasukan polis bekerja keras dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

''Anggota polis perlu menikmati kadar gaji yang baik dan kenaikan gaji ini akan menjadi perangsang supaya mereka lebih produktif," katanya.

Kadar baru gaji dan elaun pasukan PDRM diharap menjadi perangsang kepada pasukan berkenaan untuk membanteras segala bentuk jenayah di seluruh negara dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Semua aduan orang ramai kepada polis diharap mampu disiasat dan diselesaikan pada waktu yang singkat dan kes seperti pembunuhan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin di mana penjenayahnya masih bebas sehingga ke hari ini tidak akan berulang.

Bagaimanapun, kebelakangan ini kepantasan pihak polis dalam menyiasat dan mendakwa penulis blog yang menghina institusi kesultanan Johor, menahan suspek kes bakar surau di Muar dan mendakwa mereka yang membakar gereja dan sekolah di Taiping mampu meningkatkan keyakinan rakyat kepada pasukan berkenaan.

Pengurangan kadar jenayah merupakan salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu.

Dalam mencapai NKRA tersebut PDRM turut dicadangkan supaya menggunakan khidmat laman web sosial "facebook" sebagai alternatif dalam usaha untuk menyelesaikan kes-kes jenayah.

Ketua Makmal NKRA bagi mengurangkan jenayah, Abdul Aziz Md. Noor menyifatkan laman web berkenaan dapat membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah memandangkan ia kini diguna secara meluas sebagai medium perantara oleh masyarakat.

"Sebelum ini kita menggunakan khidmat khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui Rakan Cop tetapi dengan pendekatan baru ini, diharap kes-kes jenayah dapat diselesaikan dengan segera.

"Contohnya dengan memaparkan gambar suspek bagi satu-satu kes melalui Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, secara tidak langsung orang awam dapat menyalurkan maklumat berkaitan kes itu kepada polis," katanya.

Tambah Abdul Aziz, selain dapat membantu polis mengesan penjenayah, penggunaan laman web sosial juga mampu merapatkan hubungan antara PDRM dan masyarakat.
Related Posts with Thumbnails