Sunday, February 7, 2010

Polis maut dirempuh

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Malang tidak berbau. Demikian perumpamaan yang sesuai menggambarkan nasib seorang anggota polis peronda yang maut setelah dirempuh sebuah kereta ketika bertugas awal pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, Sarjan Harjit Singh, 50, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras maut dirempuh kereta di Jalan Sungai Besi berdekatan susur masuk ke Jalan Chan Sow Lin.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang membantu mengawal lalu-lintas selepas satu kemalangan berlaku membabitkan enam buah kenderaan.

Ketika menjalankan tugasnya, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Hyundai Getz yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun merempuh anggota polis itu.

Berikutan rempuhan itu, mangsa cedera parah akibat patah tulang rusuk dan kaki.

Dia kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pemandu terbabit dipercayai cuba meninggalkan keretanya dan melarikan diri tetapi berjaya diberkas tidak lama kemudian.

Berita tersebut dimaklumkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah 'Balik Kampung' di sini hari ini.

"Kami amat sedih bersimpati dengan keluarga beliau dan bersedia untuk memberi sebarang bantuan yang diperlukan melalui Bahagian Kebajikan Bukit Aman.

"Begitulah risiko yang dihadapi seseorang anggota polis. Sungguh malang semasa bertugas membantu masyarakat, dia terkorban," katanya.

Mendiang Harjit meninggalkan seorang balu, Manjit Kaur, 47, seorang guru tadika serta tiga orang anak berusia antara 13 hingga 24 tahun.

Beliau menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia pada 2 Januari 1979, pernah bertugas sebagai anggota misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bosnia-Herzegovina dan Sudan.
Related Posts with Thumbnails