Tuesday, March 2, 2010

Tumbuk polis: Pelajar, rakan ditahan

KUALA TERENGGANU 1 Mac - Tindakan seorang pelajar institut pengajian tinggi menyerang dan menumbuk anggota polis mengundang padah apabila dia dan rakannya diberkas dalam kejadian di Jalan Sultan Sulaiman di sini awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi di belakang sebuah rumah flat di situ, rakan suspek yang merupakan seorang buruh berusia 19 tahun turut diberkas.


Kedua-dua mereka ditahan reman tiga hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang bertugas.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan memberitahu, kedua-dua suspek berasal dari Bukit Payong dan Kampung Alur Limbat, Marang.


"Anggota polis yang cedera di muka akibat ditumbuk pelajar itu kemudian diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.


Sebelum kejadian itu, katanya, dua anggota polis, masing-masing berpangkat inspektor dan koperal menahan sebuah motosikal yang dinaiki dua suspek terbabit kerana dalam keadaan mencurigakan.


Bagaimanapun, ketika disoal, salah seorang daripada suspek yang tidak berpuas hati bertindak menyerang anggota polis bertugas sebelum berlaku pergelutan.


Manoharan memberitahu, ketika bergelut, pelajar terbabit menumbuk muka anggota polis berpangkat koperal itu namun, kedua-dua suspek berjaya diberkas tidak lama kemudian.

Related Posts with Thumbnails