Sunday, March 28, 2010

Elaun RM200 iktiraf jasa polis

KUALA LUMPUR 25 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan pengumuman beberapa insentif baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Hari Polis hari ini sebagai satu pengiktirafan kepada pengorbanan pasukan itu.


Insentif tersebut, katanya, akan menyemarakkan lagi semangat para anggota khususnya lain-lain pangkat untuk berbakti secara ikhlas dan jujur, sesuai dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan.


"Selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri, saya berasa amat terharu kerana bersetuju memberikan peruntukan tambahan sebagai ganjaran kepada pegawai dan anggota saya khususnya anggota berpangkat rendah yang bertungkus lumus selama ini menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.


"Pengumuman yang membuatkan diri saya terperanjat ialah apabila Perdana Menteri mengumumkan pemberian elaun tambahan RM200 kepada setiap anggota polis untuk tugasan am, satu elaun yang tidak diberi selama ini," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perbarisan Perdana sempena sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.


Perdana Menteri hari ini mengumumkan pemberian elaun bulanan sebanyak RM200 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas-tugas am di seluruh negara dan skim kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan atau 'time-based' bagi anggota berpangkat konstabel, lans koperal dan koperal.


Musa berkata, pengenalan imbuhan-imbuhan baru dalam penyelarasan skim gaji baru yang diumumkan termasuk sebelum ini, diharap mampu menarik minat orang ramai terutamanya golongan bukan Melayu untuk menyertai PDRM.


Menurut beliau, skim-skim baru sedemikian akan memberi nafas baru kepada imej polis dan mengubah persepsi bahawa kerjaya polis tidak lagi menawarkan gaji rendah.


"Kita juga mahu mewujudkan peluang mengembangkan kerjaya kepada pegawai dan anggota polis agar ia memberi motivasi kepada mereka untuk bekerja lebih keras untuk naik pangkat.


"Kita mahu pastikan mereka tidak kekal di sesuatu pangkat sebaliknya bergerak maju ke ke peringkat yang lebih tinggi," jelas Musa.

Related Posts with Thumbnails