Sunday, March 28, 2010

Pengiktirafan terhadap polis


Najib Tun Razak menyempurnakan upacara pelancaran Pelan Integriti PDRM sambil diperhatikan oleh Hishammuddin Tun Hussein dan Musa Hassan sewaktu sambutan ulang tahun Hari Polis ke-203 di Pulapol, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 25 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian elaun bulanan sebanyak RM200 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas-tugas am di seluruh negara, berkuatkuasa serta merta.


Imbuhan sempena ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 yang disambut hari ini itu melibatkan peruntukan sebanyak RM84 juta setahun kepada lebih 33,000 anggota lain-lain pangkat.


Anggota tugas-tugas am adalah mereka yang menjalankan pelbagai jenis tugas di ibu pejabat polis daerah, balai dan pondok polis di seluruh negara.


Antara tugasan mereka ialah berurusan dengan orang ramai di kaunter pertanyaan, menjaga lokap, mengadakan sekatan jalan raya, rondaan di kawasan bertugas dan mengawasi sesuatu acara di kawasan mereka.


Perdana Menteri pada masa yang sama turut mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meminda Pekeliling Perkhidmatan 2009 sekali gus membolehkan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan atau time-based terhadap seramai 52,000 anggota PDRM pangkat konstabel, lans koperal dan koperal.


“Berikutan pindaan ini, mereka yang berpangkat konstabel akan dinaikkan pangkat sebagai lans koperal selepas tiga tahun berkhidmat, manakala kenaikan pangkat lans koperal ke koperal selepas lima tahun.


“Selain itu, balai-balai polis yang cemerlang dan terbaik akan diberi penghargaan khas berdasarkan pencapaian dan prestasi baik yang ditunjukkan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini hari ini.


Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kedua-dua timbalan beliau, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, timbalannya, Tan Sri Ismail Omar serta pegawai-pegawai atasan PDRM.


Pengumuman Perdana Menteri ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan untuk semua anggota PDRM berpangkat konstabel hingga koperal yang turut melaksanakan tugas mereka mengawal keselamatan negara.


Hishammuddin pada 20 Mac lalu memberitahu, Perdana Menteri akan mengumumkan penyelarasan gaji anggota lain-lain pangkat sempena sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis kali ini.


Sebelum ini, pada awal Februari lalu, kerajaan mengumumkan skim gaji dan elaun baru anggota polis berpangkat sarjan ke atas.


Sementara itu, menurut Najib, kerajaan memberi jaminan akan terus menyokong PDRM dan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan misi mengurangkan kadar jenayah di negara ini.


“Apabila usaha menurunkan kadar jenayah menjadi misi nasional, ia adalah agenda kerajaan termasuk polis, menteri dan saya selaku Perdana Menteri turut bertanggungjawab memastikan ia berjaya.


“Jika usaha ini gagal, saya akan turut menanggung bebannya. Namun, janganlah jadikan kegagalan itu sebagai satu pilihan kerana sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu berjuang untuk menjayakan usaha ini,” tegas Perdana Menteri.


Beliau pada masa yang sama turut melahirkan rasa bangga apabila PDRM berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 13 peratus di seluruh negara sepanjang Januari dan Februari ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


Malah, kata Najib, kerajaan yakin PDRM akan membantu menurunkan kadar jenayah melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu keseluruhan sebanyak 5 peratus dan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun 2010.


Menurut Perdana Menteri, cabaran yang dihadapi oleh PDRM kini semakin besar kerana perubahan persekitaran dan jangkaan rakyat selain arus permodenan.


Namun, bagi beliau, jika setiap anggota dan pegawai PDRM mengamalkan tiga nilai utama iaitu kesetiaan berdasarkan Perlembagaan, integriti serta keberkesanan dan keberhasilan, cabaran itu akan mudah dicapai, khususnya dalam mengurangkan jenayah dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan ini.

Related Posts with Thumbnails