BUKIT MERTAJAM 8 Jan. – Penduduk negeri ini mengalu-alukan langkah kerajaan menempatkan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sebagai sukarelawan polis dan menyifatkannya sangat tepat pada masanya.
Rata-rata mereka berpendapat, tindakan itu wajar memandangkan tanggungjawab membendung kegiatan jenayah tidak wajar dipikul oleh polis semata-mata.
Sehubungan itu, mereka berharap supaya pendekatan baru itu dilaksanakan segera sambil meminta supaya pemantauan dilakukan agar objektifnya dapat dicapai dengan lebih berkesan.
Seorang suri rumah, Azizah Isa, 36, dari Kampung Tanah Liat di sini berkata, pendekatan positif itu amat wajar kerana pasukan Rela turut dianggotai oleh kumpulan-kumpulan dalam masyarakat.
“Jadi mereka ada kepentingan untuk sama-sama menjaga keamanan di tempat mereka tinggal. Saya fikir ini adalah pendekatan yang sangat baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seramai 1,042 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan ditempatkan sebagai polis sukarelawan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor untuk mencegah jenayah di kawasan-kawasan panas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu semalam berkata, jumlah itu ialah sebahagian daripada 5,187 anggota Rela yang telah dikenal pasti secara bersama oleh pihak polis di bawah projek anggota polis sukarelawan (PVR).
Azizah memberitahu, tugas menjaga keamanan tidak sepatutnya diserahkan kepada polis semata-mata kerana pasukan keselamatan lain seperti Rela juga boleh memainkan peranan yang penting.
Pekedai runcit yang mahu dikenali sebagai Tan, 48, pula berkata, kehadiran anggota Rela selain polis di kawasan-kawasan tumpuan umum pastinya memberi kelegaan terutamanya kepada komuniti perniagaan.
“Baguslah, orang ramai dan peniaga macam kami pun boleh rasa lega kerana sekurang-kurangnya kegiatan jenayah dapat dipantau dengan lebih dekat,” katanya.
Pandangan itu disokong kakitangan swasta, Abdul Hamid Marican Hussain, 39, yang berharap supaya anggota Rela yang dipilih menyertai program itu ditapis bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa.
“Hanya mereka yang benar-benar layak sahaja wajar diberi peluang itu kerana kita tidak mahu berulangnya kes-kes seperti anggota Rela menyalahgunakan kuasa,” ujarnya
K. Khengahdevi, 35, pula berpendapat, langkah kerajaan itu adalah tepat memandangkan sudah tiba masanya Rela diberi peranan yang lebih aktif sekali gus meningkatkan imejnya sebagai pasukan keselamatan.