|
|
TEMERLOH 29 Mac - Tugas dan tanggungjawab polis kini semakin mencabar berikutan kes-kes jenayah yang kian membimbangkan saban hari. Namun di sebalik kesibukan itu, anggota polis tidak lupa terhadap tanggungjawab sosial mereka untuk menderma darah demi menyelamatkan nyawa mereka yang amat memerlukan.
Ia dibuktikan apabila seramai 80 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menderma darah sempena sambutan Hari Polis bagi mengisi tabung darah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
Program derma darah itu diadakan di Kompleks Perumahan Polis di Temerloh Jaya, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, menderma darah adalah salah satu aktiviti tahunan bagi membantu pesakit dan masyarakat yang memerlukan darah di Hoshas.
''Selain untuk berbakti kepada masyarakat, menderma darah merupakan aktiviti yang boleh mendatangkan kebaikan dari sudut kesihatan penderma," katanya kepada pemberita selepas melawat pegawai dan anggota polis IPD Temerloh menderma darah pada program tersebut.
Ahmad Fadzillah turut menyarankan pegawai dan anggota polis mendaftarkan diri sebagai penyumbang organ bagi membantu mereka yang memerlukannya.
''Walaupun kita sudah meninggal dunia, bayangkan betapa besarnya nilai sumbangan apabila salah satu daripada organ kita dermakan itu umpamanya membolehkan orang yang buta dapat melihat semula atau pesakit jantung dan buah pinggang dapat dipulihkan," katanya.