Tuesday, December 15, 2009

Sukarelawan Polis anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Tidak dibekalkan senjata api semasa bertugas.

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Sukarelawan polis yang terdiri daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) tidak akan dibekalkan dengan senjata api ketika menjalankan tugas- tugas rondaan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, tindakan itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada mereka sendiri dan orang awam.


Menurutnya, pemberian senjata api kepada sukarelawan polis simpanan ketika bertugas perlu dikaji sedalam-dalamnya kerana ia tidak boleh digunakan oleh individu yang tidak terlatih.


''Kita tidak menyediakan sukatan pembelajaran berkaitan senjata api dalam modul kursus asas sukarelawan polis simpanan.


''Namun dalam tempoh tujuh minggu, mereka akan diajar bidang kuasa yang lebih kurang sama seperti polis, teknik menangkap penjenayah dan rondaan di kawasan panas.


''Kursus itu memberi fokus asas sebagai anggota polis moden selain panduan menjalankan tugas dalam usaha mengurangkan 20 peratus jenayah jalanan menjelang 2010,'' katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Kepolisan Rela dan JPAM di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia, di sini hari ini.


Dalam siri ketiga pengambilan anggota polis sukarela, seramai 172 orang terdiri daripada 150 anggota Rela dan 22 anggota JPAM yang tamat kursus akan ditempatkan di kawasan panas di Kuala Lumpur dan Selangor bermula esok.


Chin Wah menambah, meskipun demikian sukarelawan polis simpanan itu akan dibekalkan dengan cota bagi tujuan mempertahankan diri ketika berhadapan dengan bahaya.


Beliau memberitahu, kira-kira 3,000 anggota sukarelawan polis simpanan diperlukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membantu mengurangkan jenayah dan akan ditempatkan di Kuala Lumpur, Johor, Selangor serta Pulau Pinang menjelang 2010.

Related Posts with Thumbnails