|
|
KOTA BHARU 14 Dis. - Pencegahan jenayah sering dikaitkan sebagai tanggungjawab yang dipikul sepenuhnya oleh pihak polis atas alasan mereka dibayar gaji bagi melaksanakannya.
Masyarakat cenderung bersifat lepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis menangani jenayah sehingga mewujudkan keadaan yang merugikan mereka dan menguntungkan penjenayah.
Mereka biasanya akan menuding jari kepada pasukan 'beruniform biru' sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini ke atas mereka atau jenayah mulai berleluasa dan mengancam suasana di kawasan tempat tinggal dan kerja masing-masing.
Mereka seakan terlupa bahawa ia adalah satu tanggungjawab kolektif yang mesti dipikul oleh setiap individu dalam menjaga, menyelamat dan menghapuskan jenayah.
Risiko keselamatan diri dan harta benda hanya dapat dikurangkan jika segala usaha meningkatkan ciri keselamatan diambil di samping kerjasama erat dengan pihak polis.
Stesen minyak merupakan salah satu tarikan penjenayah bagi melakukan rompakan bersenjata dan selalunya mereka bertindak nekad bagi mendapatkan habuan.
Sehubungan itu, Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. yang mempunyai lebih 900 buah stesen minyak di seluruh negara telah mengorak langkah mengadakan kerjasama erat dengan pasukan polis dalam usaha mereka mencegah jenayah di premis-premis pengusaha minyak mereka.
Pengurus Besar Bahagian Jualan Runcit dan Operasinya, Azman Ismail berkata, pada Ogos lepas, pihaknya mengadakan program pertama pertemuan antara pengusaha-pengusaha stesen minyak Shell di Selangor dengan Ketua Polis negeri itu bagi membincangkan aspek-aspek keselamatan yang mesti ditingkatkan.
Hasil interaksi dan perbincangan yang diadakan antara bilangan kes rompakan yang berlaku di stesen-stesen minyak mereka menunjukkan penurunan mendadak.
"Kebanyakan kes rompakan ke atas premis Shell tahun ini berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor selain Pulau Pinang dan Johor.
''Bimbang dengan penularan kes, kami aturkan program pertemuan antara Ketua Polis Selangor dan kontinjennya dengan pengusaha-pengusaha minyak di sana terlebih dahulu.
"Perbincangan dan interaksi yang diadakan di peringkat negeri itu dilanjutkan di peringkat daerah dengan fokus utamanya memastikan setiap pengusaha mempunyai hubungan dengan pegawai polis bertanggungjawab di kawasan mereka.
"Akhirnya kami dapati penurunan kes yang mendadak berikutan interaksi dan kerjasama yang terjalin itu," katanya kepada pemberita selepas Program Pencegahan Jenayah PDRM dengan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Shell Kelantan di Stesen Minyak Shell, Chicha , Kota Bharu, baru-baru ini.
Program pencegahan jenayah itu adalah yang kedua seumpamanya yang diadakan antara Shell dengan pihak polis selepas pertemuan di Selangor.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi merasmikan majlis itu yang dihadiri seramai 30 pengusaha minyak Shell seluruh Kelantan dan mereka mendaftar diri sebagai ahli RAKAN COP selain berinteraksi dengan ketua-ketua polis daerah yang dijemput ke program tersebut.
Azman berkata, antara kerugian yang dialami oleh pihaknya selain kehilangan wang adalah kerosakan premis. Bagaimanapun ia tidak mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Terdahulu dalam ucapannya Azman memberitahu, pihak Shell sentiasa mengambil serius aspek keselamatan pelanggan, pengusaha dan kakitangan stesen minyak mereka.
"Antara inisiatif yang diambil adalah memperkenalkan pemasangan kamera litar tertutup dan 'Roller Shutter' bagi lokasi yang berisiko tinggi selain mengadakan audit dan latihan kecemasan dari semasa ke semasa.
"Satu sistem sokongan melalui pemasangan sistem penggera senyap juga telah diperkenalkan yang memberi isyarat kecemasan kepada pihak polis secara langsung sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahim semasa berucap merasmikan program berkata pihak polis memerlukan maklumat yang jitu dan tepat untuk membolehkan mereka bertindak balas dalam masa yang singkat apabila berlakunya kejadian jenayah.
Jelasnya, tanpa maklumat dan kerjasama daripada orang ramai, kerja-kerja pencegahan jenayah tidak dapat dijalankan dengan sempurna.
Katanya, terdapat tiga cara utama yang boleh digunakan oleh para pengusaha stesen minyak sebagai langkah keselamatan di premis mereka iaitu dengan memasang sistem penggera yang bersambung dengan balai polis, berdaftar sebagai RAKAN COP atau mendail terus kepada balai yang berdekatan.
Beliau berkata, sejak tahun lalu tiga rompakan bersenjata membabitkan stesen minyak dilaporkan di negeri ini termasuk dua stesen minyak Shell.
"Dua di Pasir Puteh dan satu di Pengkalan Chepa yang dapat dapat kita selesaikan dalam tempoh 24 jam hasil maklumat yang pantas daripada orang ramai," katanya.
Beliau mahukan setiap pekerja stesen minyak diberi maklumat tentang pentingnya kaedah bertindak dalam kecemasan bagi keselamatan diri dan pelanggan.
Katanya, polis bertekad untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kearah penjagaan keselamatan dan ketenteraman awam dengan lebih profesional dan berkesan lagi.