Tuesday, December 15, 2009

Indeks kadar jenayah Kedah turun 2.59 peratus

ALOR SETAR 14 Dis. - Indeks kadar jenayah di negeri ini bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 2.59 peratus atau 330 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.


Ketua Polis negeri, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kajian mendapati kadar jenayah di negeri ini mencatatkan sejumlah 12,435 kes berbanding 12,765 kes sepanjang 11 bulan pertama tahun lepas.


Katanya, bagi tempoh sama juga, jenayah harta benda mencatatkan penurunan sebanyak 3.97 peratus kepada 10,099 kes berbanding 10,516 kes tahun sebelum ini.


"Kejayaan polis kontinjen Kedah menurunkan kadar jenayah tersebut adalah hasil daripada aktiviti-aktiviti pencegahan dan operasi bersepadu yang dijalankan.


"Antaranya dua kumpulan yang terlibat dengan lebih 40 kes curi motosikal berjaya ditumpaskan. Seramai 19 remaja berusia antara 17 dan 25 tahun ditangkap," katanya.


Beliau berucap pada Majlis Penyampaiaan Anugerah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)-Balai Polis Cemerlang Negeri 2009 di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, di sini hari ini.


Hadir sama Pengerusi MCPF negeri, Mansor Din.


Pada majlis itu, Balai Polis Kepala Batas diumumkan sebagai penerima anugerah balai polis cemerlang bagi kategori bandar dan Balai Polis Serdang, dekat sini bagi kategori luar bandar.


Syed Ismail berkata, jenayah kekerasan bagaimanapun mencatatkan peningkatan sebanyak 87 kes atau 3.87 peratus iaitu daripada 2,249 kepada 2,336 kes.


"Berdasarkan trend jenayah semasa, polis kontinjen Kedah menumpukan perhatian ke atas lima buah daerah iaitu Kuala Muda, Kota Setar, Kulim, Kubang Pasu dan Baling," katanya.


Beliau turut menyeru semua warga polis di negeri ini supaya bersama-sama menggembleng tenaga dan memainkan peranan masing-masing agar berjaya mengurangkan jenayah jalanan kepada 20 peratus pada penghujung tahun depan.


Sementara itu, kata Syed Ismail, dalam usaha membanteras pengedaran dadah di negeri ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri telah menangkap seramai 27 pengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang bulan lalu.


Katanya, 12 orang lagi ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) sepanjang November lalu manakala seramai 541 penagih ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983.


"Jabatan ini juga telah berjaya merampas sebanyak 1,140.11 gram heroin; 550.27 gram ganja; 353.93 gram syabu dan 120,621.83 gram daun ketum serta pelbagai jenis dadah lain," ujarnya lagi.


Dalam pada itu, Syed Ismail memberitahu, seramai 429 kakitangan polis kontinjen Kedah telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun lepas yang melibatkan sejumlah 32 Pegawai Kanan Polis; kalangan anggota pangkat rendah konstabel/sokongan ( 350 orang) dan 47 pegawai awam.

Related Posts with Thumbnails