SEREMBAN 11 Dis. – Kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi agenda utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk memastikan perkhidmatan pasukan itu terus dikagumi rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini termasuk penstrukturan dan kenaikan pangkat anggota polis.
‘‘Tahun ini sebanyak 2,254 anggota polis dan pegawai diluluskan pemangkuan dan kenaikan pangkat.
‘‘Jumlah tersebut melibatkan 1,031 kenaikan pangkat di kalangan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Supritendan dan ke atas, selain kenaikan pangkat 1,223 anggota bertugas di cawangan khas.
‘‘Jumlah berkenaan tidak termasuk 774 calon kenaikan pangkat daripada Inspektor kepada Asisten Supritendan yang baru diluluskan minggu ini,” katanya.
Hishammuddin ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Persatuan PDRM kali ke-83 di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.
Tambah Hishammuddin, bermula 1 November lalu juga, semua pelatih polis dan anggota yang sedang menjalani kursus asas kepolisan di pusat latihan polis seluruh negara akan menerima bayaran insentif khas PDRM sebanyak RM200 sebulan.