Wednesday, August 18, 2010

Rahsia pasangan hidup mewah

ALOR SETAR: Kehidupan mewah sepasang suami isteri yang mengusahakan kolam ternakan ikan terjawab apabila mereka ditahan selepas polis menemui heroin seberat 500 gram membabitkan nilai pasaran RM35,000 yang disorok di bawah katil sebuah bilik di rumah mereka di Taman Juragan, Jalan Kuala Kedah di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 1.10 tengah hari itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kedah menghala ke pusat bandar raya.

Operasi diketuai Cif Inspektor Mohd Shahran Termizi menahan sepasang suami isteri berusia 28 dan 29 tahun dalam kereta itu kerana disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata soal siasat terhadap suspek membawa polis ke rumahnya di Taman Juragan dan berjaya menemui satu plastik hitam yang disorokkan di bawah katil di sebuah bilik rumah itu.

“Siasatan lanjut menemui dua plastik besar lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat 500 gram dengan nilai pasaran RM35,000, katanya.

Sumber : Harian Metro

Sunday, August 15, 2010

Jeritan maut 'bangun sahur



Oleh AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my


MAYAT Khairul Bariah dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Taman Mawar, Langkap, Teluk Intan semalam.

TELUK INTAN – Keheningan hari keempat Ramadan sebuah keluarga di Taman Mawar, Langkap di sini semalam tiba-tiba bertukar menjadi tragedi sekali gus menjadikan dua adik-beradik perempuan yatim piatu.

Bapa mereka, Mohd. Natri Sharuddin, 39, tiba-tiba mengamuk sebelum menetak mati ibu mereka, Khairul Bariah Mohd. Ariffin, 36, dengan parang.

Kejadian menggemparkan penduduk taman itu berlaku seawal pukul pukul 5 pagi apabila Mohd. Natri tiba-tiba menjerit meminta Khairul Bariah bangun bersahur sambil menendang pintu serta dinding rumah teres dua tingkat yang disewa mereka.

“Bangun sahur, bangun sahur.’’ Itulah jeritan Mohd. Natri sebagaimana diceritakan oleh Nazuwa, 10, yang terkejut dengan jeritan bapanya itu yang memecah hening pagi.

IPD Baling lakar sejarah

PENANTIAN sekian lama pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bagi merangkul kejuaraan Piala Ketua Polis Kedah 2010, akhirnya menjadi kenyataan selepas menjadi johan buat pertama kali tahun ini.


Kejohanan yang diadakan secara karnival 11 sepasukan selama 4 hari itu membabitkan 14 pasukan daripada setiap daerah negeri Kedah termasuk Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Pasukan Gerak Khas Marin (PGM).


Walaupun pasukan IPD Baling ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama, namun berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Annor Ahmad.


Kedudukan seri 1-1 sehingga tamat perlawanan menyebabkan pemenang terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti dan tuah menyebelahi IPD Baling dengan 3-0 untuk bergelar johan tahun ini. Naib johan disandang pasukan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah.


Pengurus pasukan IPD Baling, Cif Inspektor Basirul Hapi Ibrahim, berkata kemenangan kali pertama ini hasil kegigihan dan semangat kesukanan pemain.


Penjaga gol IPD Baling, Konstabel Marzuki Osman dipilih pemain terbaik kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini Keladi, Kulim.


Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Polis Kedah, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan. Turut hadir Ketua Polis Baling, Superintenden Mat Daud Mat Hasan.

Sokong Perkep bela keluarga polis

KUALA KUBU BHARU: Setiap ahli dan anggota polis perlu memberikan kerjasama terbaik kepada Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dalam menjayakan pelbagai program yang disusun demi memupuk budaya muafakat yang erat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata sokongan dan komitmen diberikan amat diperlukan bagi memastikan Perkep berdiri selaras matlamat membela keluarga polis.


“Perkep sebuah persatuan yang sudah cukup dikenali di daerah ini dan banyak memberi sumbangan kepada keluarga polis.


“Malah, pembabitannya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banyak membantu masyarakat dari aspek kebajikan ahli.


“Oleh itu, sebagai ahli keluarga polis, kita perlu memberi sokongan dan sentiasa membabitkan diri dalam program dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agong Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di sini, baru-baru ini.


Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Rasid dan Pengerusi Perkep IPD Hulu Selangor, Dely Adibah Abd Rahman.

Bayarlah saman,dan bersyukurlah

BAGI sebuah negara yang mempunyai penduduk kira-kira 28 juta orang, fakta bahawa sejak tahun 2000 sudah terdapat 10 juta saman ekor dikeluarkan di Malaysia menjelaskan segala-galanya tentang sikap sesetengah pemandu kenderaan di negara ini.

Ketika berada di dalam kereta, sebahagian kita dikuasai mentaliti Anything You Can Do, I Can Do Better. Mentaliti itu diburukkan jika pasangan, anak, adik, abang, kakak dan kawan yang berada di sebelah kita tunduk kepada sikap kediktatoran sebahagian daripada kita yang terserlah sewaktu memegang stereng kereta atau memulas pendikit minyak motosikal. Di atas kenderaan ego kita rupa-rupanya besar.

Inilah yang menghasilkan berjuta-juta saman ekor di Malaysia.

Sebenarnya, bukan semua saman ekor terbukti tepat kerana seorang teman Awang memberitahu dia pernah disaman ekor kerana didakwa memandu laju di Tanah Merah, Kelantan dan Bahau, Negeri Sembilan. Sedangkan seumur hidupnya dia tidak pernah mengunjungi Tanah Merah dan Bahau, tetapi notis saman daripada pihak polis sampai juga, melalui pos, ke rumahnya.

Memang ada sedikit kelemahan dalam sistem saman ekor, tetapi Awang percaya sebahagian besar daripada 10 juta saman ekor yang dikeluarkan oleh polis itu mewakili kesalahan trafik yang benar-benar berlaku.

Memandangkan kerajaan telah menangguhkan sehingga Februari 2011 tempoh membayar saman ke atas 1.07 juta pemandu yang disenarai hitam oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan, Awang mengesyorkan kepada mereka yang disaman supaya mengakui kesilapan diri. Bayarlah saman itu sedikit demi sedikit.

Di Malaysia tiada orang yang disaman seperti seorang pemandu yang dilaporkan dikompaun oleh mahkamah Switzerland sebanyak SFr1.08 juta (RM3.3 juta) kerana memandu kereta Mercedes sportnya selaju 170 kilometer sejam baru-baru ini.

Di Switzerland, cara kesalahan lalu lintas dikompaunkan menggunakan pendekatan sosialis. Jumlah kompaun bergantung kepada kekayaan seseorang pemandu dan jenis kereta yang dipandunya.

Maka jika anda memandu kereta Mercedes melebihi had laju di Malaysia, kemudian ditahan polis dan dikenakan kompaun RM300, bayarlah segera kompaun itu.

Bersyukurlah kerana kalau kesalahan tersebut dilakukan di Switzerland, anda mungkin terpaksa menggadai kereta Mercedes itu dan mungkin menjadi orang kaya yang bankrap.
Related Posts with Thumbnails