Tuesday, October 1, 2019

Tindakan tegas anggota, pegawai polis terbabit salah laku dadah


BALING: Beberapa pegawai dan anggota polis berpangkat rendah di negeri ini ditahan kerana terbabit dalam kegiatan dadah menerusi operasi Devil Blue, baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata semua yang ditahan akan berdepan tindakan sama seperti orang awam yang lain malah mereka juga boleh ditamatkan tugas.
“Mereka akan direman dan disiasat sama seperti orang awam dan proses tindakan seterusnya boleh ditamatkan tugas.
“Kita tidak mahu mereka ini berada di dalam pasukan kerana bukan saja boleh merosakkan diri dan keluarga malah polis,” katanya di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah anggota dan pegawai yang ditahan dalam operasi berkenaan.
Zainuddin berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu salah laku, walaupun ia membabitkan pegawai dan anggota polis.
Beliau berkata demikian selepas majlis serah tugas Ketua Polis Baling membabitkan Superintendan Sharifuddin Yusof dan Superintendan Syed Basri Syed Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, hari ini.
Syed Basri yang sebelum ini bertugas sebagai Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis memegang jawatan Ketua Polis Baling baharu menggantikan Sharifuddin yang ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Sementara itu, mengulas mengenai tangkapan suspek yang terbabit dalam kebakaran di tiga masjid masing-masing dua di Pendang dan satu di Alor Setar minggu lalu, Zainuddin berkata, suspek dipercayai kurang waras.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya
Related Posts with Thumbnails