Tuesday, October 1, 2019

Rampasan ketum terbesar di Kedah


LELAKI ditahan ketika membawa 2,200 kilogram daun ketum menggunakan lori di Jalan Kupang-Grik berhampiran Kampung Seniyek, Baling, 4 pagi hari ini.
Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata, hasil pemeriksaan mendapati daun ketum bernilai RM66,000 itu dibungkus dalam plastik hitam dan dipercayai untuk dihantar ke Kelantan dari Pokok Sena.
“Rampasan ini adalah yang terbesar di Kedah setakat ini dan dipercayai didalangi sindiket.
“Suspek yang ditahan dipercayai hanya mengambil upah membawa daun ketum untuk dihantar kepada sindiket yang menjalankan perniagaan itu di sana,” katanya ketika sidang media di IPD Baling, hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan untuk mengesan dalang sindiket berkenaan dan lelaki terbabit akan direman mulai esok bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Related Posts with Thumbnails