Sunday, August 15, 2010

Bayarlah saman,dan bersyukurlah

BAGI sebuah negara yang mempunyai penduduk kira-kira 28 juta orang, fakta bahawa sejak tahun 2000 sudah terdapat 10 juta saman ekor dikeluarkan di Malaysia menjelaskan segala-galanya tentang sikap sesetengah pemandu kenderaan di negara ini.

Ketika berada di dalam kereta, sebahagian kita dikuasai mentaliti Anything You Can Do, I Can Do Better. Mentaliti itu diburukkan jika pasangan, anak, adik, abang, kakak dan kawan yang berada di sebelah kita tunduk kepada sikap kediktatoran sebahagian daripada kita yang terserlah sewaktu memegang stereng kereta atau memulas pendikit minyak motosikal. Di atas kenderaan ego kita rupa-rupanya besar.

Inilah yang menghasilkan berjuta-juta saman ekor di Malaysia.

Sebenarnya, bukan semua saman ekor terbukti tepat kerana seorang teman Awang memberitahu dia pernah disaman ekor kerana didakwa memandu laju di Tanah Merah, Kelantan dan Bahau, Negeri Sembilan. Sedangkan seumur hidupnya dia tidak pernah mengunjungi Tanah Merah dan Bahau, tetapi notis saman daripada pihak polis sampai juga, melalui pos, ke rumahnya.

Memang ada sedikit kelemahan dalam sistem saman ekor, tetapi Awang percaya sebahagian besar daripada 10 juta saman ekor yang dikeluarkan oleh polis itu mewakili kesalahan trafik yang benar-benar berlaku.

Memandangkan kerajaan telah menangguhkan sehingga Februari 2011 tempoh membayar saman ke atas 1.07 juta pemandu yang disenarai hitam oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan, Awang mengesyorkan kepada mereka yang disaman supaya mengakui kesilapan diri. Bayarlah saman itu sedikit demi sedikit.

Di Malaysia tiada orang yang disaman seperti seorang pemandu yang dilaporkan dikompaun oleh mahkamah Switzerland sebanyak SFr1.08 juta (RM3.3 juta) kerana memandu kereta Mercedes sportnya selaju 170 kilometer sejam baru-baru ini.

Di Switzerland, cara kesalahan lalu lintas dikompaunkan menggunakan pendekatan sosialis. Jumlah kompaun bergantung kepada kekayaan seseorang pemandu dan jenis kereta yang dipandunya.

Maka jika anda memandu kereta Mercedes melebihi had laju di Malaysia, kemudian ditahan polis dan dikenakan kompaun RM300, bayarlah segera kompaun itu.

Bersyukurlah kerana kalau kesalahan tersebut dilakukan di Switzerland, anda mungkin terpaksa menggadai kereta Mercedes itu dan mungkin menjadi orang kaya yang bankrap.
Related Posts with Thumbnails