Monday, January 28, 2013


Lelaki terbabit ditahan sebelum di bawa ke balai polis

BALING - Hasrat seorang pemuda untuk mencuri barangan dapur di sebuah restoran tidak kesampaian apabila dia bertembung dengan pemilik kedai itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang di Restoran Sri Tualang di Kampung Tualang di sini, semalam.

Pemuda berusia 20-an itu dikatakan sering memasuki restoran itu sebelum ini untuk mencuri barangan dapur antaranya milo, susu dan sebagainya.

Namun, tindakannya itu tidak bertahan lama setelah dia bertembung dengan pemilik kedai yang secara kebetulan ke restorannya.

Pemilik restoran, Mohd Rasdi Syaari, 52, berkata, dia ternampak sebuah motosikal bersama kunci berada di luar restorannya.

Menurutnya, dia terus mengambil kunci motosikal itu kerana dapat mengagak ada orang yang menceroboh masuk ke dalam restorannya.

“Bila buka restoran, saya nampak suspek berada di dalam. Dia cuba melarikan diri, tetapi saya sempat menahannya.

“Lelaki itu turut memaklumkan terdapat seorang lagi rakannya yang masuk ke restoran saya, tetapi dia sempat melarikan diri,” katanya.

Katanya, dia yakin lelaki terbabit merupakan suspek yang sering menceroboh dan mencuri barangan restorannya sebelum ini.

Suspek yang dikatakan dari Kupang itu dihantar kepada polis untuk tindakan seterusnya.
Related Posts with Thumbnails