Anggota polis ketika melihat mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Baling.
Di parit inilah mangsa terjatuh dan meninggal dunia.
Mangsa cuba melarikan diri dari operasi membanteras penagihan dadah oleh Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah berkata, polis menerima aduan penduduk mengenai kawasan itu yang dijadikan tempat penagihan dan pengedaran dadah.
Menurutnya, hasil risikan, polis melancarkan serbuan di kawasan hutan di kampung itu dan berjaya menahan tiga lelaki dipercayai rakan mangsa.
“Ketiga-tiga mereka yang berusia 26 hingga 57 tahun ditahan kerana terlibat dalam penagihan dadah jenis heroin dan direman selama seminggu,” katanya.
Katanya, kawasan hutan terbabit sering dijadikan tempat penagih untuk melepaskan gian mereka sehingga merisaukan penduduk setempat.
“Lebih buruk, aktiviti tersebut akan memberikan kesan dan mempengaruhi terutama golongan remaja untuk terlibat sama dalam masalah penagihan ini.
“Justeru, polis akan menjalankan operasi dalam usaha membanteras sebarang aktiviti penagihan terutama pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga