Wednesday, July 11, 2012

Anggota polis lumpuh terima sumbangan Kontinjen Perak

IPOH 11 Jun - Seorang anggota polis sukarelawan, Lans Koperal Abdul Karim Abdul Ghani, 39, yang lumpuh separuh badan akibat terlibat dalam satu kemalangan langgar lari pada September tahun lalu, menerima sumbangan dari Kontinjen Perak kelmarin.


Kemalangan pukul 1.40 pagi itu berlaku semasa mangsa yang memakai uniform baru selesai bertugas dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Chemor Idaman di sini, sebelum dirempuh kenderaan.


Sejak kejadian itu, isterinya, Norasyikin Yusof, 36, terpaksa memikul segala tanggungjawab mengurus keluarga termasuk menjaga Abdul Karim dan tiga anak perempuan mereka yang berusia antara 12 tahun dan enam tahun.


"Abang (Abdul Karim) menjadi mangsa langgar lari dan kini dia lumpuh akibat kecederaan parah pada saraf tunjang. Semasa dia sihat, dialah yang mencari rezeki untuk kami sekeluarga, ibu dan adik-adiknya yang lain.


"Tapi apabila sudah jadi macam ini, segala keperluan kami hanya bergantung kepada bayaran daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di samping bantuan keluarga dan adik-beradik yang lain.


"Setiap bulan dia sahaja memerlukan kira-kira RM2,500 untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan lain termasuk ubat," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Kontinjen Perak di rumahnya di sini kelmarin.


Sumbangan itu disampaikan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan yang turut meluangkan masa hampir 30 minit berbual dengan keluarga Abdul Karim.


Turut serta Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias serta kira-kira 30 pegawai dan anggota polis negeri.


Menurut Norasyikin, Abdul Karim telah berkhidmat selama tujuh tahun sebagai polis sukarelawan di sebuah kilang berhampiran rumah mereka.


Dia juga memberitahu sebaik sahaja mendengar suaminya kemalangan, ibu mertuanya Momtarjit Gulam Husin, 57, juga amat terkejut sehingga koma.


"Meskipun telah sedar dari koma, ibu masih kurang sihat lebih-lebih lagi bila melihat abang hanya terbaring di atas katil. Dia masih trauma dengan apa yang jadi terhadap anaknya itu," katanya.


Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, sumbangan itu dikutip dari kalangan anggota polis sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap nasib yang menimpa Abdul Karim.

Related Posts with Thumbnails