Wednesday, July 11, 2012

10 kes tindakan liar masyarakat terhadap polis

Mohd. Shukri Dahlan (kiri) melihat kesan kecederaan di kepala Abdul Karim Abdul Ghani semasa berkunjung ke kediamannya di Taman Chemor Idaman, Ipoh, baru-baru ini. - BERNAMA

IPOH 10 Jun - Sebanyak 10 kes membabitkan tindakan liar dan ganas pihak tertentu terhadap anggota polis berlaku di negeri ini sepanjang tahun lalu.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tindakan tersebut termasuklah anggota polis ditumbuk, dipukul, dilanggar, ditendang, dicederakan malahan turut digigit.


Sambil melahirkan rasa kecewa atas kejadian tersebut, Mohd. Shukri berkata, kebanyakan kejadian berkenaan berlaku semasa anggota terlibat melakukan sekatan jalan raya.


"Kebelakangan ini, saya dapati ramai anggota polis jadi mangsa tindakan liar dan ganas pihak tertentu. Di negeri ini sahaja, 10 kes dilaporkan tahun lalu dan tahun ini pula setakat ini sudah ada tiga kes.


"Anggota polis bekerja untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat, tidak seharusnya mereka diperlakukan sebegitu.


"Rondaan dan sekatan dibuat perlu kerjasama semua pihak. Janganlah mereka (anggota polis) dijadikan mangsa tindakan liar pihak tersebut sehingga ada yang ditendang dan digigit," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang anggota polis sukarelawan, Lans Koperal Abdul Karim Abdul Ghani, 39, yang lumpuh akibat dilanggar sebuah kenderaan di rumahnya di Taman Chemor Idaman di sini kelmarin.


Turut serta Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias serta kira-kira 30 pegawai dan anggota polis negeri.


Menurut Mohd. Shukri, meskipun kebanyakan kes yang dilaporkan tidak serius, namun perkara berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia tindakan liar dan boleh mencetuskan kejadian lebih buruk.


"Saya harap masyarakat menghargai peranan dan tanggungjawab yang dijalankan pihak polis. Janganlah melakukan tindakan melulu dan setiap perkara boleh dibawa berbincang," katanya.

Related Posts with Thumbnails