Tuesday, March 29, 2011

Suksis didedahkan peranan polis jaga keselamatan


Sebahagian anggota Kor Suksis UTeM memeriksa kenderaan mahasiswa pada program latihan amali pemeriksaan kenderaan dan pencegahan jenayah di Melaka, semalam.


MELAKA 22 Mac - Seramai 62 anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini menghadiri program latihan amali pemeriksaan kenderaan dan pencegahan jenayah.


Pegawai Latihan Kor Suksis UTeM, Inspektor Daud Awang Min berkata, latihan tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada anggota Kor tersebut mengenai prosedur mengendalikan sekatan jalan raya, penguatkuasaan akta serta langkah-langkah pencegahan jenayah.


''Buat pertama kalinya anggota Kor Suksis UTeM diberi peluang untuk menimba pengalaman dalam melaksanakan pemeriksaan kenderaan dan pencegahan jenayah bersama polis," katanya di sini hari ini.


Menurutnya, melalui pendedahan itu kesemua anggota kor terbabit dapat mendekatkan diri dengan masyarakat selain menambah kefahaman terhadap tugas dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras jenayah.


Melalui latihan yang dijalankan, katanya, anggota kor itu diberi tunjuk ajar mengenai cara yang betul untuk memeriksa kad pengenalan, lesen memandu, cukai jalan serta pemeriksaan kenderaan.


''Pada masa sama, mereka turut didedahkan dengan beberapa akta yang diguna pakai antaranya Akta Polis 1967, Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Peraturan Lalu Lintas 1958," ujarnya.


Seorang anggota Kor Suksis, Mohd. Azlan Zahari ketika ditemui berkata, latihan itu merupakan sesuatu yang sangat mencabar bagi dirinya dan rakan-rakan lain.


''Namun, tunjuk ajar serta bimbingan daripada jurulatih yang berpengalaman memberikan kami keyakinan untuk melaksanakan tugas jika diberikan," katanya.


Manakala bagi Raja Norazimah Raja Yunus, berkata, latihan tersebut memberi kefahaman dengan lebih jelas mengenai bidang kuasa dan tanggungjawab polis dalam menjaga keselamatan.


Jelasnya, sebelum ini subjek undang-undang dan akta hanya diajar ketika di dalam kelas tetapi menerusi latihan amali itu, dia telah memberi pemahaman yang lebih jitu kepadanya.


Latihan itu menyaksikan sejumlah 388 kereta, 340 motosikal dan 669 orang telah diperiksa oleh anggota Kor Suksis UTeM.

Related Posts with Thumbnails